Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Emma Maembong dedah sudah bercerai
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 8:33 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Pelakon Emma Maembong mengesahkan dia sudah bercerai dengan Muhammad Shazli Azhar dan sudah pun tamat tempoh idah.

Katanya, dia memilih pendekatan untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Emma berkata, atas alasan itu juga dia masih memuat naik foto bersama bekas suami di media sosial hingga ramai pihak mula berteka-teki sama ada dia dan bekas suaminya masih bersama atau tidak.

“Saya sebolehnya cuba menutup kisah peribadi saya walaupun saya menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan media sebelum ini.

“Sebenarnya tujuan saya masih memuat naik foto bersama bekas suami di Instagram hanyalah untuk menjaga emosi anak-anak supaya mereka tidak terkesan dengan perpisahan ini.

"Saya nak anak-anak saya melihat keluarganya masih bahagia,"katanya yang dipetik Harian Metro.

Ditanya tarikh perpisahan itu berlaku, Emma enggan berkongsi butiran lanjut kerana mengakui ia bukan perkara indah untuk dikongsikan.

“Bagi saya, perpisahan ini bukan satu berita yang patut dibanggakan dan sebab itu saya mengambil langkah berdiam diri dan tidak bercerita kepada orang luar atau buat sebarang pengumuman.

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 2020.

“Namun, disebabkan hari ini saya menerima panggilan anda (media), saya rasa sudah tiba masanya untuk beritahu kepada umum supaya ia tidak lagi ditanya.

“Saya akui perkahwinan ini bukan satu perjalanan yang mudah. Banyak dugaan yang perlu ditempuh,” katanya.

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Bagaimanapun, Emma bersyukur hubungannya dengan bekas suami masih baik dan masing-masing reda dengan perceraian yang berlaku.

Katanya, dia dan Shazli menganggap dugaan ditempuhi adalah satu proses untuk memperbaiki menjadi lebih baik.

“Walaupun sudah tidak bersama, hubungan kami masih baik.

“Masing-masing terima perceraian ini dengan berlapang dada dan matang.

“Fokus kami sekarang adalah membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang.

“Walaupun sudah tidak bersama, kami akan tetap buat aktiviti keluarga bersama-sama dengan dua cahaya mata kami,” katanya.

Sementara itu, Shazli menyifatkan urusan jodoh dan pertemuan adalah rahsia Allah.

Katanya, manusia cuma mampu merancang.

“Soal jodoh, ajal semua di tangan Tuhan.

“Allah sebaik-baik perancang. Dia tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS