Pasangan terkenal, Fattah Amin dan Nur Fazura bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam, Selangor hari ini.
Fattah melafazkan cerai talak satu pada jam 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dan Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan Fattah, 33, belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.
Sebelum itu, status rumah tangga pasangan berkenaan sering menimbulkan spekulasi selepas keharmonian rumah tangga mereka didakwa diganggu oleh orang ketiga.
Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.