Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Perjalananku': Negeri kelahiran jadi lokasi konsert sulung Hafiz Suip

Seperti sirih pulang ke gagang, penyanyi tanah air Hafiz Suip memilih negeri kelahirannya Sarawak sebagai lokasi konsert sulung beliau yang bakal berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) pada 13 Okt ini.

Hafiz, 34, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip, menjanjikan kejutan sepanjang persembahan “Konsert Hafiz Suip - Perjalananku” yang memanifestasikan kisah suka dan duka beliau selama 15 tahun bergelar anak seni.

“Konsert ini akan menceritakan perjalanan sebenar saya sebagai penyanyi menerusi empat segmen, bermula daripada nobody kepada seorang penyanyi, berkisarkan pengalaman hidup, pencapaian dan cabaran yang saya lalui… saya ingin kongsikan momen ini dengan peminat menerusi persembahan pada malam itu nanti.

“Sebagai anak kelahiran Kuching, Sarawak, saya berasa amat bangga dapat mengadakan konsert ini di kampung halaman saya sendiri, kerana sebelum ini saya hanya tertumpu di Semenanjung sahaja,” katanya dalam sidang media ‘Konsert Hafiz Suip - Perjalananku’, di Kuching baru-baru ini.

Penyanyi yang menempa nama menerusi lagu seperti Awan Nano, Ku Akui dan Bahagiamu Deritaku mengorak langkah dalam industri muzik setelah menjuarai rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada 2009.

Mahu menghadiahkan kenangan terindah buat peminatnya, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi terkemuka Ernie Zakri yang akan bergabung suara dengan beliau menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku, sekali gus menjadi persembahan duet secara langsung yang pertama bagi lagu berkenaan.

Pemenang anugerah vokal terbaik buat tiga kali di pentas Anugerah Juara Lagu itu berharap konsert berkenaan dapat menjadi platform untuk beliau mendekati serta berinteraksi dengan peminatnya secara santai.

“Selama ini, bila saya membuat persembahan, saya hanya mampu lihat peminat dari jauh sahaja, jadi konsert ini saya nak libatkan peminat agar mereka tidak rasa malu dan tahu saya ini mudah didekati… tanpa mereka tiadalah Hafiz Suip,” katanya yang akan mendayukan single terbaharunya, Terus Bersinar.

Bakal memukau hati peminatnya selama dua jam dengan dendangan 14 lagu hit, konsert sulung Hafiz juga bakal menyerlahkan kepakaran komuniti kreatif di Sarawak apabila majoriti kru dan pemuzik yang akan terlibat dalam konsert itu adalah anak Bumi Kenyalang.

Tiket untuk ke ‘Konsert Hafiz Suip - Perjalananku’ anjuran MCF Event ini dijual menerusi laman sesawang mcfevent.com dengan harga RM88 hingga RM488.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS