Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Budak 9 tahun antara 120 mangsa serangan seksual P Diddy
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Seorang kanak-kanak lelaki seawal usia 9 tahun antara 120 mangsa yang mendakwa menjadi mangsa rogol atau serangan seksual Sean "Diddy" Combs akan menyaman mogul hip hop itu, kata seorang peguam.

Pengamal undang-undang berpangkalan di Houston, AS, Tony Buzbee hari ini mendakwa, insiden membabitkan Combs dan kanak-kanak terbabit berlaku ketika mereka menghadiri sesi uji bakat di Bad Boy Records Studio, New York.

“Ada kanak-kanak lelaki yang turut diuji bakat di lokasi sama. Kesemua mereka cuba mendapatkan kontrak dan mereka adalah di bawah umur.

“Individu ini (berusia 9 tahun) yang diserang secara seksual mendakwa Sean Combs dan beberapa orang lain berjanji kepada kedua orang tuanya bahawa dia akan mendapat kontrak,” kata peguam itu yang dipetik majalah People.

Buzbee berkata, dua firma guaman akan mewakili sekurang-kurang 120 penyaman yang ingin memfailkan tuntutan sivil ke atas Combs, dengan 25 daripadanya adalah individu di bawah umur.

Buzbee dilapor akan memfailkan tuntutan mahkamah di pelbagai negeri dalam tempoh 30 hari akan datang. Katanya, mangsa juga dibahagikan antara lelaki dan perempuan.

Menurutnya, 55 peratus daripada mangsa memfailkan laporan sama ada kepada pihak berkuasa atau melalui hospital.

Mereka mendakwa menjadi mangsa di parti-parti dianjurkan Combs termasuk ketika meraikan pelancaran album dan sambutan ambang tahun baru di Los Angeles, Miami, Manhattan dan Hamptons antara 1991 dan 2024.

Buzbee juga berkata kebanyakan individu yang mendakwa menjadi mangsa telah diuji untuk dadah selepas insiden berlaku dan didapati badan mereka mengandungi ubat penenang kuda dikenali sebagai Xylazine.

Sementara itu peguam Combs, Erica Wolff dalam kenyataan berkata, Combs tidak boleh menjawab setiap tuduhan yang diberikan secara melulu.

“Combs dengan tegas menafikan sebarang tuduhan palsu dan fitnah dia melakukan penderaan seksual kepada sesiapa, termasuk kanak-kanak bawah umur.

“Dia akan membuktikan dirinya tidak bersalah dan membela diri di mahkamah. Kebenaran adalah berdasarkan bukti, bukannya spekulasi,” katanya.

Dakwaan penderaan seksual muncul selepas Combs, 54, dituduh atas dakwaan terbabit konspirasi aktiviti haram, pemerdagangan seks dan pengangkutan untuk terlibat dalam pelacuran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS