Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemecatan salah: Bekas juruhebah Kool FM dapat pampasan RM56,000

Mahkamah Rayuan hari ini memberikan pampasan sebanyak RM56,000 kepada bekas juruhebah radio Khairu Norliza Khairudin RM56,000 selepas memutuskan dia telah dipecat secara salah pada 2018.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Azimah Omar serta hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat perintah itu selepas membenarkan rayuan Khairu Norliza terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan pampasan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan.

Lee yang mempengerusikan panel hakim bagaimanapun mengurangkan jumlah pampasan RM133,000 yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan kepada RM56,000.

Dia berkata jumlah pampasan itu dikurangkan itu bagi menampung baki lapan bulan kontrak Khairu Norliza, 38, berdasarkan gaji bulanannya sebanyak RM7,000.

Hakim itu berkata keputusan Kool FM Radio Sdn Bhd untuk menukar status Khairu Norliza, yang lebih dikenali sebagai Liza Khairudin, daripada petugas kepada pekerja kontrak bebas adalah tidak wajar kerana dia tidak diberikan pilihan dalam perkara tersebut.

Pada 14 Feb 2020, Mahkamah Perusahaan memutuskan Khairu Norliza telah dibuang kerja tanpa sebab yang munasabah dan memerintahkan stesen radio itu membayar RM133,000 untuk tunggakan gaji serta pampasan sebagai ganti diambil bekerja semula.

Khairu Norliza berkata dia telah ditawarkan jawatan sebagai juruhebah radio selama setahun dengan Hot FM dari 1 April 2014 hingga 31 Mac 2015 dan kontraknya dilanjutkan setahun lagi iaitu hingga 31 Mac 2016.

Syarikat itu kemudian memeterai kontrak dengan Studio Synchrosound selama tiga tahun dari 1 April 2016 hingga 31 Mac 2019 yang menyaksikan Khairu Norliza bertugas sebagai juruhebah radio untuk Kool FM.

Pada 2017, Khairu Norliza dimaklumkan syarikat itu berhasrat mengambil beberapa juruhebah radio termasuk dirinya sebagai petugas kontrak bebas berbanding pekerja dan mereka diminta mendaftarkan perniagaan sendiri untuk mengikat kontrak dengan syarikat tersebut.

Khairu Norliza telah mendaftarkan perniagaan di bawah nama LKD Empire Sdn Bhd dan menandatangani perjanjian sebagai petugas kontrak bebas pada 27 Dis 2017. 

Perjanjian itu menyatakan bahawa syarikatnya akan menyediakan perkhidmatan juruhebah radio kepada stesen itu selama tiga tahun dari 1 Dis 2017 hingga 31 Mac 2019.

Bagaimanapun, kontrak itu ditamatkan pada 1 Ogos 2018 dan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, Khairu Norliza telah memfailkan aduan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, yang kemudian dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS