Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem Tamil 'Amaran' janjikan naratif langkaui medan perang Deepavali ini

Filem Tamil Amaran yang berdasarkan kisah benar mendiang Mejar Mukund Varadarajan, seorang pegawai tentera India yang terbunuh semasa operasi antikeganasan di Jammu dan Kashmir pada 2014, akan menemui penonton ketika sambutan Deepavali ini.

Tiba dari Chennai, India untuk mempromosikan filem itu di Malaysia, pelakon utama Sivakarthikeyan berkongsi perasaannya ketika menghidupkan watak wira sebenar tersebut di layar perak.

“Amaran bukan sekadar filem bagi saya, tetapi sebuah cerita tentang pengorbanan besar dan rasa sayang seorang anggota tentera kepada negaranya. Justeru, saya perlu pastikan watak Mejar Mukund Varadarajan yang saya mainkan, benar-benar mencerminkan keberanian beliau, bukan setakat dalam bentuk fizikal tetapi juga semangat beliau sebagai wira sejati.

“Memainkan watak beliau bukan setakat lakonan, tetapi satu penghormatan,” katanya pada satu acara promosi filem itu yang berlangsung di Rawang, Selangor baru-baru ini, dan turut dihadiri pelakon wanita utama Sai Pallavi serta komposer GV Prakash Kumar.

Lakonan Sivakarthikeyan sebagai Mejar Mukund yang menerima anugerah secara anumerta (posthumous) Ashok Chakra atas keberanian beliau semasa operasi tersebut, meraih perhatian peminat yang memuji persiapan aktor berkenaan bagi memainkan watak itu.

Iklan acah filem itu berjaya menarik 26 juta tontonan, mencerminkan keterujaan peminat terhadap karya berkenaan.

Sivakarthikeyan turut menzahirkan penghargaan buat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap filem Tamil, dan katanya, sokongan yang diterima daripada peminat di sini membuatkan beliau berasa seperti "balik ke pangkuan keluarga setiap kali datang ke Malaysia.”

Senada, Sai Pallawi yang memuji aspek emosi filem berkenaan, berkata karya itu bukan setakat kisah di medan perang, tetapi tentang keberanian, pengorbanan dan ikatan di antara seorang anggota tentera dan negaranya.

“Saya yakin Amaran akan menyentuh perasaan setiap penonton,” katanya.

Filem itu yang diadaptasi daripada buku India’s Most Fearless, karya Shiv Aroor dan Rahul Singh, menjanjikan naratif tentang keberanian dan patriotisme.

Diarahkan oleh Rajkumar Periyasamy dan diterbitkan oleh Raaj Kamal Films International milik Kamal Haasan dengan kerjasama Sony Pictures International Productions, Amaran dijangka mencetuskan fenomena dalam industri filem.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS