Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tak perlu kaya-raya, makan biskut cecah air pun OK - Kenji Sawahi

“Boleh bincang ‘mahar’ tapi jangan sampai paksa saya ke tahap maksimum,” demikian luah pelakon Kenji Sawahi berhubung dua projek yang ditawarkan kepadanya dengan bayaran serendah RM300 sehari.

Katanya, dia masih terbuka untuk berbincang soal bayaran, namun menegaskan mana-mana penerbit tidak boleh mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tidak masuk akal.

Kenji, 61, berkata sesebuah produksi wajar bertimbang rasa apabila ingin menggunakan khidmat seseorang pelakon terutama yang sudah senior.

“Saya ditawarkan watak pembantu untuk dua projek masing-masing dengan bayaran RM300 sehari. Walaupun sebagai pembantu, harga itu tidak masuk akal.

“Saya ada pengalaman 40 tahun sebagai pelakon. Kalau nak ambil saya berlakon untuk watak cameo sekalipun, kena letak harga tinggi sedikit sebab sudah pasti mereka diundang kerana popular dan mempunyai peminat.

“Saya juga masih ada peminat. Sepatutnya lagi berumur pelakon itu, lagi berharga pengalaman hidup dia. Tapi sekarang situasi itu dalam industri tiada. Ada bayaran yang langsung tidak masuk akal,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Lim Boon Wah itu, dia terpaksa menolak tawaran tersebut demi menjaga kelestarian industri tanah air.

Berlakon sebab minat

Malah katanya dia sanggup mempertahankan pendiriannya itu meskipun mungkin perlu mengikat perut akibat ketiadaan peluang pekerjaan.

“Saya tetap dengan pendirian dan mahu pertahankan hak saya. Katakan seorang pelakon baru masuk dalam industri, berapa bayaran dia agak-agaknya kalau pelakon sudah 40 tahun pun dibayar RM300 sehari?

“Macam mana orang baru nak cari makan? Sudah tentu bayaran seperti itu akan merosakkan industri kita.

“Saya tak ada kerja tak apa, saya boleh makan biskut, cecah air, OK saja asalkan bidang ini sihat. Saya tidak perlu kaya-raya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama terbaru lakonannya, Ternyata Sebuah Bahagia, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara baru-baru ini.

Walaupun masih solo, kadar bayaran rendah dalam industri membuatkan Kenji begitu terkilan hingga membayangkan sekiranya mempunyai anak, dia tidak akan membenarkan mereka bergelar pelakon.

“Kalau ada anak saya tidak galakkan mereka masuk bidang ini. Saya berlakon sebab ini adalah minat saya dan berhasrat untuk tinggalkan sesuatu kepada peminat apabila saya sudah tiada lagi,” katanya.

Pada masa sama, Kenji berkata, kelangsungan sesebuah filem untuk bertahan dari segi tempoh tayangan di pawagam juga mengambil kira kebolehan produksi membayar pelakon-pelakon mereka.

“Duit saya pun tak mampu bayar, macam mana pembikin filem itu mahu buat promosi?

“Kalau tak buat promosi, filem itu takkan meletup di panggung,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS