Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Azman disabit bersalah kes amang seksual
Diterbitkan:  Sep 27, 2024 11:57 AM
Dikemaskini: 6:36 AM

Seorang peserta program realiti TV yang dituduh melakukan amang seksual dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh mahkamah hari ini.

Keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam, terhadap Azman Syah Alias, 43, pagi ini.

Tertuduh yang juga lepasan program Pencetus Ummah didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut ke atas seorang remaja lelaki pada dua tahun lalu.

Mangsa berusia 17 tahun.

Menurut laporan BH Online, Noridah keputusan tersebut dibuat selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga menetapkan Azman Syah menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan, selain diawasi oleh polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.

Azman Syah yang turut dikenali sebagai Cik Man itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis inap desa di Kampung Sungai Udang, Kelang.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada jam 12.15 tengah malam 20 Feb 2022, dan jam 1 pagi pada 29 Jun 2022.

Untuk itu Azman Syah didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Melalui akta itu seseorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Selain di Klang, Azman Syah juga menghadapi sembilan pertuduhan lain termasuk lima di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan.

“Selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan dan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara maksimum, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

"OKT (orang kena tuduh) didapati bersalah dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan,” kata Noridah yang dipetik Bernama.

Perbuatan terkutuk perlu dihentikan

Agensi berita itu melaporkan Azman Syah dikenakan hukuman penjara 12 tahun dengan satu sebatan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman berkenaan berjalan berasingan bermula hari ini.

Hakim turut menolak permohonan Azman Syah yang dibuat melalui peguam belanya, Mohamad Zahid Ahmad, agar pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga rayuan di mahkamah tinggi diputuskan.

Sementara itu ketika membuat rayuan Mohamad Zahid berkata pihaknya memohon hukuman penjara paling minimum kerana mahkamah perlu mengambil kira tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

“Tertuduh seorang pendakwah yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat, antaranya beliau memberi motivasi dan kelas kuliah al-Quran serta memberi ajaran kepada anak muda khususnya untuk celik kepada al-Quran.

“Tertuduh anak bongsu daripada tujuh beradik dan beliau penyumbang utama dalam keluarga serta banyak membantu keluarga yang susah.

"Sekiranya mahkamah memberi hukuman penjara yang lama, ia akan memberi kesan kepada tertuduh dan keluarga,” katanya.

Peguam itu juga menambah, Azman Syah telah bercerai dan tidak mempunyai anak selain memberikan kerjasama baik kepada polis dan mahkamah sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

Nurul ‘Izzati Mohamad yang bertindak sebagai timbalan pendakwa raya pula memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan seksual yang dilakukan dan jelas hukuman bagi akta tersebut ialah maksimum 20 tahun penjara.

“Peningkatan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia terutama di Selangor harus dibendung dengan cara memberi hukuman berat agar dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat umum.

“Perbuatan terkutuk ini harus diberhentikan serta-merta.

"Hukuman berat dapat memberikan mesej jelas dan nyata kepada masyarakat, agar tidak melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS