Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kilafairy sedia kembali berlakon lepas lebih setahun kehilangan ibu

Pelakon dan penyanyi Kilafairy kini lebih tenang untuk kembali dalam industri lakonan selepas menyepi kesan kehilangan ibunya yang juga penyanyi terkenal, Rohana Jalil tahun lalu.

Kata Kilafairy, dia sepatutnya berpegang pada nasihat ibunya selama ini agar tidak mencampur-adukkan soal peribadi dengan kerjaya.

Justeru, menurutnya dia kini sudah bersedia untuk kembali merancakkan dunia lakonan.

“Kalau mama masih ada dia mesti akan marah jika saya kata mahu berehat. Saya fikir dia tidak suka perkara seperti itu.

“Sebab itu, saya kini semakin banyak memenuhi pelbagai undangan bagi memeriahkan majlis kerana bukan lagi dalam fasa berehat, cuma sesi penggambaran saja belum tapi ia akan bermula nanti, insya-Allah. Saya terbuka dan bersedia,” katanya.

Pemilik nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan menjelaskan, sebelum ini dia tidak dapat meneruskan kerjaya lakonan kerana masih diselubungi perasaan sedih atas kematian ibunya.

Menurutnya, dia pernah menolak tawaran membintangi sebuah naskhah kerana bimbang tidak dapat mengawal emosi hingga boleh menjejaskan penggambaran.

“Ada satu produksi tawar berlakon tapi penggambaran akan dilakonkan 90 peratus dalam hospital, ketika itu saya baru kehilangan mama.

“Sebelum itu saya luangkan masa tiga bulan jaga mama di hospital, saya tidak boleh buat drama itu, jadi terpaksalah tolak.

“Tapi sekarang kalau ada naskhah yang memerlukan saya berlakon di hospital, saya yakin saya boleh buat dengan baik kerana akan lebih ‘memberi’ (lakonan mantap),” katanya pada majlis peragaan Luxe Up Your Life with Dulux Ambience and Pearl Glo & Shanell Harun di Kuala Lumpur kelmarin.

Rohana meninggal dunia pada 20 Jun tahun lalu. Kesihatan penyanyi terkenal era 1980-an itu mulai merosot selepas berdepan komplikasi masalah kebocoran usus.

Ditanya adakah dia tidak teringin untuk aktif menyanyi seperti arwah ibunya, Kilafairy, 32, berkata secara ringkas dia memang merindui karier nyanyiannya.

Sementara itu, diusik soal jodoh, penyanyi lagu Put The Word In itu mengakui dia tidak tertekan untuk menamatkan zaman bujang kerana tidak memikirkan soal kahwin.

“Saya tak fikir soal kahwin dan saya tak ada (kekasih). Lagipun kawan-kawan saya ramai untuk hilangkan rasa sunyi.

“Hidup bujang tiada komitmen rumah tangga jadi bebas untuk ke mana-mana.

“Mengenai zuriat pula, saya memang sukakan kanak-kanak sampai terbayang-bayang nak ada lapan orang anak tapi apabila semakin berusia, saya fikir mungkin cukuplah seorang dua saja kalau ada rezeki,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS