Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tolak tajaan kawan-kawan 'nakal' buat bariatrik, Nora OK

Penyanyi Nora Ariffin secara berseloroh mengakui dia pernah menolak tajaan untuk melakukan prosedur bariatrik daripada beberapa kenalan “nakal” yang berhajat melihat transformasi pada penampilan luarannya.

Mengakui perubahan sedemikian langsung tidak terlintas dalam fikirannya, Nora berkata, keutamaannya ketika ini ialah untuk merealisasikan konsert sulung seperti diidamkan bersama arwah suami, komposer Johan Nawawi.

“Ada kawan-kawan nakal yang suruh saya buat bariatrik sebab mereka nak taja. Saya cakap tidak payah sebab saya bukan model, saya nak menyanyi,

“Alhamdulillah, saya OK,” katanya.

Menurut Nora, 51, apa yang dipentingkannya ketika ini ialah agar dapat menjalankan aktiviti fizikal di gimnasium bagi mengekalkan kesihatan mental.

Kata penyanyi Secebis Harapan itu, menjelang konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey pada 18 Dis nanti, dia giat menjaga kesihatan dan kecergasan diri melalui kaedah lebih alami.

Menurutnya kegiatan itu diberi penekanan hampir setiap hari sesuai dengan keadaan dirinya yang kini memasuki usia 50-an.

“Itu sebabnya kesihatan mental penting, jangan tertekan kerana ia punca kepada banyak penyakit.

“Tapi kalau orang tengok saya bersedih itu bukan kerana lelaki tapi sebab tidak ada duit saja,” katanya sambil tertawa.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BysyncLive Hall di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Masih belajar vokal

Konsert itu akan diadakan di Stage 1 Theatre, PJPac, 1 Utama E, di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada 18 Dis ini.

Pada 12 Ogos lalu, kisah rumah tangga Nora mengundang perhatian ramai selepas dia memuat naik rakaman klip video memaparkan suami, Rushdi Ramli melafazkan talak terhadapnya.

Selepas sebulan mengumumkan perceraian, penyanyi terbabit mendedahkan dia sudah rujuk kembali dengan suaminya itu.

Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021 malah Rushdi adalah sahabat baik Allahyarham Johan. Komposer itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.

Pada masa sama, Nora tidak malu untuk mengakui usia tidak menghalang dia untuk mendalami ilmu berkaitan bidangnya.

Katanya, walaupun sudah berusia, dia masih ingin memantapkan kualiti nyanyiannya agar sentiasa kekal relevan dalam industri.

“Saya masuk kelas vokal walaupun sudah berusia 51 tahun. Bagi saya, biar lambat daripada langsung tidak belajar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS