Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazura tekad cerai demi maruah
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 3:33 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Pelakon dan usahawan Nur Fazura, tekad mahu bercerai dengan Fattah Amin demi maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak, Nur Fatima Aisya.

Melalui entri dimuat naik di Instagram hari ini Fazura berkata, keputusan dibuat pada 13 Sept lalu itu sudah dipertimbangkan sedalam-dalamnya.

“Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi kepada semua.

“Keputusan yang telah Faz buat pada 13 September lalu bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi yang mendalam tentang masa hadapan Fatima dan Faz.

“Pada hari ini, Faz kekal nekad untuk meneruskan keputusan Faz sebelum ini demi maruah Faz sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz,” tulisnya.

Terdahulu, Fattah dilapor belum bersedia untuk melepaskan Fazura, 40, semasa sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari pagi tadi.

Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baru pada 7 Oktober ini. Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 Nov 2017.

Isu keretakan rumah tangga pelakon Gol & Gincu itu dengan suaminya Fattah, 34, mula dihidu apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.

Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu namun butiran tidak dijelaskan.

Bagaimanapun, Fattah kemudian mengakui dia masih sayang ibu kepada anaknya, Nur Fatima Aisya, 4 tahun.

Melalui hantaran sama, Fazura, memohon orang ramai mendoakan proses perceraian dilaluinya berjalan lancar.

“Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar.

“Terima kasih sekali lagi atas semua kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan Faz sekeluarga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS