Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya hari ini diberitahu, Fattah Amin belum bersedia untuk menceraikan isterinya, Nur Fazura Sharifuddin, dan cenderung mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Peguam mewakili pelakon itu, Zulkiflie Che Yong, berkata anak guamnya cuba memuktamadkan terma penyelesaian secara baik dengan aktres yang juga usahawan berkenaan.
Semasa sebutan permohonan cerai di hadapan hakim syarie, Abdul Malik Soleh, peguam itu menjelaskan, isu-isu di sepanjang perkahwinan mereka dibentangkan, selain senario sekiranya berlaku perceraian.
Jika mahu menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, katanya, terma perjanjian perlu dimuktamadkan supaya ia dapat mengakhiri konflik yang dihadapi pasangan terbabit.
“Pada 7 Okt ini Fattah selaku defendan akan menyatakan pendiriannya, sama ada bersetuju untuk berpisah atau sebaliknya.
“Ini merupakan prosiding mahkamah, jadi tiada kewajaran untuk anak guam saya menyatakan fakta kes kerana ia hanya akan memprejudiskan kes,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Peguam itu turut mendoakan Fattah - atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin - dan pelakon filem Ayat-ayat Cinta 2 selaku plaintif dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik melalui persetujuan terma yang dicadangkan.
Pada Selasa minggu lalu, tular kenyataan berhubung permohonan cerai pasangan pelakon berkenaan.
Difahamkan permohonan tersebut dibuat di mahkamah sama, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 Nov 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.