Walaupun ada 28 cerpen dalam koleksi bertajuk Cerpen (2024) terbitan Buku Fixi, tidaklah pula saya tertarik dengan semua cerita yang disajikan.
Misalnya, melihat saja tajuk cerpen seperti “Bubur Mat Jambu”, “Semangkuk Bubur” dan “Wanita Farsa”, saya sudah boleh agak Uthaya Sankar SB selaku penulis menghentam individu tertentu menggunakan lesen kreatif.
Tidak dapat tidak, tokoh macam Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Rosmah Mansor terbayang depan mata semasa saya membaca beberapa cerpen.
Cerpen macam “Laksamana Arjuna” pula dijadikan alat mengkritik beberapa hal yang kita percaya sebagai sejarah milik orang Melayu selama ini. Begitu juga cerpen “Darurat di Pulau Cinta” yang bersembunyi di sebalik sebuah pulau yang tak wujud untuk mendedah situasi politik Malaysia.
Tapi apabila difikir balik, bukankah itu peranan sastera dan tangungjawab penulis? Iaitu merakam kisah sezaman. Kalau setakat cerita kahwin-cerai-rujuk-bermadu atau projek juta-juta yang tak masuk akal, bukan realiti hidup kita.
Sebaliknya, selepas tenang daripada rasa marah membaca kritikan berani dan sinis dalam cerpen-cerpen ini, saya rasa elok jugalah ada fiksyen macam ini. Barulah minda tak beku.
Lagi pun, ikut catatan pada setiap cerpen, kebanyakan ditulis pada tahun 1990-an. Saya sebagai otai yang membaca kisah-kisah ini dapat relate terus dengan hal-hal yang berlaku di dalam negara pada masa itu.
Contohnya, macam kejayaan Mahathir Mohamad semasa jadi perdana menteri meminda Perlembagaan Persekutuan sampai Raja-raja Melayu hilang kekebalan jelas dalam satu cerpen dalam buku 272 halaman ini.
Cerpen macam “Nating” dan “PRU-0” beri rasa puas kepada pembaca kerana dapat berkongsi rasa menyampah pada perangai orang politik yang tanam tebu di bibir setiap kali nak pancing undi. “Saya Sebatang Pensel” pula bawa saya kepada pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 iaitu tarikh yang mengubah sejarah dan masa depan negara.
Kagum juga dengan penguasaan bahasa Melayu oleh penulis keturunan India ini. Tapi apabila difikir masak-masak, kalau kita masih nak rasa kagum, kita sebenarnya menghina kaum India, seolah-olah mereka memang tak layak pandai cakap dan tulis bahasa kebangsaan walaupun sudah beberapa generasi jadi penduduk negara ini.
Tapi pada masa sama, logiklah kita kagum apabila penulis boleh tulis perihal hidup komuniti India dalam bahasa Melayu. Orang kita memang sensitif dan cepat tersentak. Jadi, kalau nak tulis pasal agama dan budaya Bukan Melayu, memang kena berani dikritik dan kena kutuk. Entah-entah boleh dituduh cuba seleweng iman pembaca Melayu.
LGBT diselit macam jarum?
Cerpen macam “Cerita Paurnami” dan “Chitra Paurnami” yang guna purnama (bulan) sebagai objek utama memang sarat elemen India dan Hindu. Ikut catatan dalam buku ini, salah satu cerpen itu pernah tak jadi siar sebab ada unsur penyebaran agama Hindu dan melanggar Akta Penerbitan.
Budaya dan gaya hidup songsang atau lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diselit macam jarum dalam cerpen “Sang Kekasih” dan “Putaria”. Siap petik nama Anwar lagi! Tapi apabila kita ikuti perkembangan politik sejak akhir 1990-an dan berita-berita terbaru melibatkan tokoh serta badan amal agama, rasa macam sudah tak hairan dengan kisah-kisah yang didedah.
Terkejut juga baca cerpen “Sayap Emas Isteri Ketiga” dan “Sal Buka Tudung” sebab boleh rasa siapa yang dikritik. Tapi mujurlah buku-buku terbitan Fixi bukan semua orang baca. Lagi pun, dia dah letak label ‘untuk pembaca matang’ pada kulit untuk elak masalah.
Lepas habis baca, rasanya memang baguslah ada buku macam ini. Pembaca boleh ingat balik hal-hal politik yang berlaku semasa setiap cerpen ini ditulis dan tersiar. Memang terhiburlah.
Macam cerpen “Cat” dan “Yang Aneh-aneh” yang memang saya tak boleh faham bila baca mula-mula. Tapi bila dibaca balik, macam sedap pula walaupun masih tak faham mesej sebenar.
Isu-isu masyarakat ada dalam cerpen “Scammer”, “Remaja dalam Almari”, “Sasterawan Pulau Cinta” dan “(2) Postmortem”. Cara cerita diolah memang bagus dan menarik untuk kita terus baca sampai habis.
MUHAMMAD AMIN seorang pembaca Malaysiakini yang kadang-kadang baca buku cerita.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.