Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kilafairy hasrat sedekah baju tinggalan arwah Rohana Jalil

Pelakon dan penyanyi Kilafairy berhasrat untuk menyedekahkan sebahagian daripada busana peninggalan ibunya, Rohana Jalil, kepada sahabat seperjuangan penghibur itu dalam industri tanah air.

Katanya, meskipun sudah merujuk agamawan dan mendapati tiada kekangan dalam agama untuknya menyimpan koleksi pakaian tersebut, dia berasakan adalah lebih baik baju-baju itu dimanfaatkan penggunaannya dengan sehabis baik.

“Mama (Rohana) banyak sangat baju-baju digunakan untuk persembahan.

“Saya pernah tanya pada ustazah bolehkan simpan baju-baju mama itu, adakah arwah akan kena soal (di akhirat) nanti?

“Ustazah jawab, jika arwah ada anak, ia boleh diwarisi oleh mereka. Jadi, saya pilih mana yang nak dipakai dan selebihnya saya rancang untuk sedekah pada rakan mama seperti Kak Zur Eda, Ismaliza Ismail atau Haiza Hanafi,” katanya yang ditemui pada majlis peragaan Luxe Up Your Life with Dulux Ambience and Pearl Glo & Shanell Harun di Kuala Lumpur semalam.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan memaklumkan busana yang digayakan pada majlis hari ini adalah satu daripada koleksi sempat dipakai arwah ibunya itu.

“Ini adalah baju mama yang Shanell Harun buat, ia masih dalam keadaan elok untuk dipakai, saya cuma perlu buat pengubahsuaian sedikit.

“Arwah mama sempat melaram dengan baju ini sewaktu buat persembahan di Brunei sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Rohana penyanyi yang popular era 1980-an meninggal dunia pada 21 Jun tahun lalu. Allahyarham berusia 68 tahun.

Penyanyi lagu Rayuanku itu dimasukkan ke hospital akibat kebocoran usus dan kesihatannya kemudian dilaporkan semakin merosot sejak itu.

Menurut Kilafairy, ibunya menggunakan khidmat Shanell sebagai penata busana pilihan sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas penampilan khasnya dalam acara tersebut, Kilafairy berkata, dia serasi menggunakan cat Dulux sewaktu mengubahsuai kediamannya baru-baru ini.

“Pilihan cat jenama ini banyak menampilkan rona kata natural yang tidak banyak dimiliki jenama lain.

“Jadi apabila Shanell berkolaborasi dengan Dulux saya dapati ia satu gabungan unik kerana tidak pernah dibuat pereka fesyen lain.

“Saya pula sukakan seni interior design (reka bentuk dalaman) dan pada masa sama juga sukakan fesyen,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS