Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Elvina Mohamad kini mengehadkan perkongsian mengenai rumah tangganya di media sosial, lebih-lebih lagi jika melibatkan suami dan anak-anak, kerana sedar tidak semua gemar melihat kebahagiaan orang lain.

Katanya, itu antara langkah pencegahan yang diambil untuk mengelak daripada terkena penyakit ain yang berpunca daripada pandangan mata.

“Penyakit ain itu wujud. Dulu saya suka kongsi (imej) keluarga tapi kita kena tahu yang tidak semua orang suka tengok kita bahagia.

“Saya akan kongsi kepada umum apabila ada majlis keraian misalnya sambutan hari jadi atau hari raya.

“Lagipun, saya banyak gunakan platform media sosial untuk urusan kerja, benda-benda seperti kehidupan peribadi lebih baik kita simpan sendiri saja,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Ternyata Sebuah Bahagia di ibu kota semalam.

Menurut Elvina, 29, hanya beberapa peratus saja perkongsian mengenai keluarga yang biasa dimuat naik kepada umum.

Baginya, menjalani kehidupan yang sedikit tertutup adalah lebih baik.

Penyakit ain ialah gangguan yang disebabkan pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.

Elvina mendirikan rumah tangga dengan Mohd Haniff Borhan pada 18 Mac 2018 . Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Karl Mateen, 6, dan Ean Maleeq, berusia setahun lebih.

Pada masa sama, Elvina mengakui antara alasan dia menjaga ruang privasi ialah kerana bimbang krisis rumah tangga dialami rakan seperjuangan dalam industri.

Justeru, aktres itu berharap agar perkahwinan yang dibina bersama ahli perniagaan berkenaan berkekalan.

“Memang ada perasaan itu (bimbang terhadap kisah rumah tangga). Kita nak cakap kita bahagia tidak boleh juga.

“Cakap kita tak ada masalah pun tak boleh juga sebab kita tak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang.

“Setiap kali baca isu kemelut rumah tangga, saya tertanya-tanya kenapa makin lama makin ramai dalam kalangan artis yang nak berpisah.

“Kita hanya mampu berdoa semoga ia tidak berlaku pada rumah tangga sendiri dan cuba elakkan daripada kena,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS