Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem Sarawak Tegkang menang anugerah di London
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 2:44 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Filem Sarawak Tegkang, yang mengisahkan kehidupan di dataran tinggi Bario, Sarawak dipilih sebagai pemenang sesi Anugerah Pembikin Filem Baru Terbaik pada First-Time Filmmaker Showcase baru-baru ini. 

Kemenangan itu melayakkan filem tersebut bersaing di pusingan akhir Season Awards, satu acara  tahunan di Pinewood Studios, London, yang meraikan projek terbaik musim Lift-Off.

Tegkang yang bermaksud Pelangi dalam bahasa Kelabit, mengisahkan kehidupan di sebuah kampung terpencil yang menyimpan rahsia rapi selama bertahun-tahun, namun ia mula terbongkar dengan kehadiran seorang pengunjung yang menjalin persahabatan dengan seorang gadis tempatan.

Filem itu juga memaparkan keunikan Bario bukan sahaja sebagai lokasi indah yang menarik, tetapi  sebagai tempat yang kaya dengan pengalaman budaya termasuk perayaan tradisional dan upacara turun-temurun yang jarang dilihat oleh dunia luar.

Penulis dan pengarahnya filem berkenaan Josh Nawan berbangga Tegkang mendapat tempat dalam kalangan juri dan diiktiraf bersama filem hebat yang lain. 

"Masyarakat Kelabit yang merupakan kaum Dayak pribumi dari tanah tinggi Sarawak jarang diwakili dalam dunia seni, jadi pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami. 

"Saya amat menghargai peluang untuk berkongsi kisah yang berakar umbi dalam warisan sebegini dan bersyukur kerana filem ini akan disiarkan kepada lebih ramai lagi penonton di luar sana," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, penerbit filem Lyn Nasihin pula berharap, karya berkenaan akan membantu menarik lebih banyak perhatian kepada pelbagai karya yang ditawarkan oleh industri filem Malaysia. 

Lift-Off First-Time Filmmaker Sessions adalah pameran bulanan dalam talian yang didedikasikan untuk menyokong karya pengarah-pengarah baru dan menayangkan koleksi filem indie pendek serta panjang dari seluruh dunia, selain menjadi batu loncatan untuk dikenali oleh penonton baru dan profesional industri.

Pemenang mendapat pendedahan yang luas, termasuk peluang untuk mempersembahkan projek masa depan di Pinewood Studios, yang merupakan antara studio filem terkemuka dunia. 

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS