Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noh rai ulang tahun perkahwinan, terkenang memori hiba
Diterbitkan:  Sep 23, 2024 11:05 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Sempena ulang tahun pertama perkahwinan dengan isteri kedua hari ini, penyanyi Noh Salleh mendedahkan berita sedih mengenai bayi sulung mereka yang meninggal dunia tujuh bulan lalu.

Vokalis kumpulan Hujan itu berkata, bayi yang diberi nama Julian itu pergi buat selama-lamanya ketika masih dalam kandungan Fatin Athirah Mustapa.

“Hari ini 22 Sept 2024 adalah genap tujuh bulan kami kehilangan anak di dalam kandungan. Korang tak tahu kan?

“Posting ini adalah sempena ulang tahun saya dan isteri esok,” katanya di Instagram malam tadi.

Tambah memeritkan, kata Noh, 39, insiden itu berlaku ketika dia masih berjuang mendapatkan hak penjagaan sama rata untuk anaknya bersama bekas isteri, Shazrina Azman atau Mizz Nina.

“Dalam berjuang untuk Musa, kami juga berjuang memastikan anak dalam kandungan sihat, namun Tuhan jemput dia awal.

“Pasti segala ujian ini adalah untuk mempersiapkan kami agar menjadi lebih kuat atau dalam lain perkataan, memperbaiki diri sebagai suami isteri

“Ulang tahun yang pertama tapi rasa macam dah 20 tahun (berkahwin) sebab lalui macam-macam,” katanya.

Noh dan Fatin Athirah mendirikan rumah tangga 23 Sept tahun lalu.

Penyanyi lagu Pagi Yang Gelap itu terlebih dulu mendirikan rumah tangga Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun mereka bercerai pada Ogos 2022.

Perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata dan mereka memiliki seorang anak angkat lelaki diberi nama Musa.

Pada masa yang sama, penyanyi lagu yang juga terkenal dengan lagu Angin Kencang itu menzahirkan rasa syukur apabila segala urusan dipermudahkan.

Meskipun masih memujuk jiwa atas kematian yang menguji, Noh tetap bersyukur kerana dikurniakan pemberi kata-kata semangat yang tidak henti.

“Walaupun perit untuk melalui segala yang aneh-aneh tapi kami bersyukur Tuhan jernihkan semua untuk kami nampak dan ternyata hidup lebih stabil dan tenang sebab kami tempuhi perjuangan yang hebat dan menang.

“Beruntung kami dikelilingi orang baik teman-teman dan anggota keluarga yang tidak henti memberi kekuatan, mendoakan serta menemani ke mana-mana," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS