Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kalau Johan Nawawi ada, dia buat semua, Nora nyanyi saja'

“Orang tahu Nora Ariffin tidak wujud tanpa muzik Johan Nawawi,” demikian imbau penyanyi itu mengenai perjalanan seni yang awalnya dimahsyurkan arwah suami yang juga komposer terkenal.

Justeru, Nora berasa menjadi keperluan untuk dia berusaha merealisasikan hasrat yang pernah dihajatkan bersama Johan sebelum ini, iaitu konsert solo pertama dalam karier seninya.

Hal demikian menurut penyanyi Secebis Harapan itu haruslah diusahakan hingga menjadi kenyataan meskipun dia diuji dugaan untuk mencari penaja ditambah pula dengan ketiadaan Johan di sisi yang selama ini sentiasa memayunginya.

“Saya adalah anak didik dia. Kalau arwah Johan masih ada, dia yang akan buat semua dan saya hanya perlu buka mulut untuk menyanyi saja.

“Sejak zaman arwah Johan masih ada juga, masalah utama sering saya hadapi adalah untuk dapatkan penaja kerana kertas cadangan kami sering ditolak, ia buat saya fikir: apakah aku tak boleh menyanyi?

“Sampai satu tahap saya rasa kecil hati dan hampir putus asa apabila melihat penyanyi lain terutama pendatang baru senang saja buat konsert, pernah juga ingin lupakan hasrat itu kerana rasa sudah tiada harapan,” katanya.

Pun begitu, menurut Nora, 51, situasi itu tidaklah menyebabkan semangatnya terus padam malah apabila kerajaan menawarkan geran dia tidak melepaskan peluang untuk merebutnya.

“Bukan senang zaman dulu tiada macam itu. Walaupun tahu pembiayaan itu bukan sepenuhnya dan saya masih perlu tampung kos tambahan, ia tetap membantu malah saya tidak kisah asalkan konsert solo itu tetap berjalan,” katanya.

Nora berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BysyncLive Hall di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sentuhan individu berpengalaman

Konsert itu akan diadakan di Stage 1 Theatre, PJPac, 1 Utama E, di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada 18 Dis ini.

Untuk konsert dua jam itu, Nora akan mendendangkan 17 lagu popular dan malar segar. Antaranya Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu, serta lagu interlude yang jarang dinyanyikan.

Konsert itu diadakan sempena 30 tahun pembabitan Nora dalam industri muzik tanah air, dibawakan khas oleh syarikatnya, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB), dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Komposer itu meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Penyanyi kelahiran Kelantan itu kemudian berkahwin pula dengan Rushdi Ramli yang juga sahabat baik Johan pada 2021.

Pada masa sama, Nora mengakui wujud perasaan terkilan kerana Johan tidak sempat meraikan detik indah konsert sulungnya itu nanti.

Namun, dia dapat lega apabila konsert itu mendapat sokongan rakan-rakan arwah yang namanya cukup gah dalam industri.

“Saya ini sebenar tahan perasaan, memang rasa tanpa dia tidak akan lengkap, selalu terfikir macam mana nak realisasikan cita-cita dia, apabila praktis saya beremosi sebab lirik dia, lagu dia produksi pun dia punya.

“Jadi, apabila dia tiada, saya yang kena bayangkan macam mana kalau jadi dia dan fikirkan strategi untuk aturkan konsert itu nanti.

“Konsert itu akan dapat sentuhan individu berpengalaman dalam industri muzik tanah air iaitu Jennifer Thompson yang akan bertindak sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS