Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Da’i Syed dilepas sementara menunggu rayuan
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 10:57 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Pendakwah selebriti, Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas 21 hari meringkuk di penjara Kajang kerana merogol seorang wanita.

Hakim Aslam Zainuddin memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu, hingga rayuan didengar dan diputuskan.

Ia membabitkan rayuan bapa kepada seorang anak itu, atas keputusan Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 30 Ogos lalu, yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan berkenaan.

Peguam turut mewakili Syed Shah Iqmal iaitu Abu Bakar Isa Rahmat mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa, sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman itu, dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, ia membabitkan Syed Shah Iqmal sebagai pemohon manakala pihak pendakwaan hadir selaku responden di Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan beberapa syarat, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, Abu Bakar tidak mendedahkan butiran syarat berkenaan secara terperinci.

Menurutnya, pemohon turut diwakili peguam bela dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak iaitu Wan Azmir Wan Majid, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Muhammad Amin Othman.

Sementara itu, pengurusan kes rayuan terbabit menetapkan 24 September ini untuk pengurusan kes.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita lima tahun lalu.

Hakim, Norazlin Othman memerintahkan selebriti itu dihukum serta-merta selepas mendapatinya bersalah susulan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Semasa membaca keputusan penghakiman, Norazlin berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes itu dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS