Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adira akui Datuk Red berubah, positif mahu perbaiki komitmen

Penyanyi Adira Suhaimi meluahkan rasa leganya apabila mendapati semakin banyak perubahan positif ditunjukkan bekas suami, Adnan Abu atau Datuk Red, yang menunjukkan minat untuk kembali rujuk dengannya.

Kata Adira, hal itu dilihatnya berlaku terutama selepas berakhir tempoh iddahnya pada Julai lalu.

“Ya betul, saya tidak menafikan sikap Abang Red semakin improve (bertambah baik) namun tidak perlu saya komen dari segi apa.

“Alhamdulillah dia menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperbaiki hubungan berbanding masa lalu,” katanya.

Namun, anak kelahiran Sabah itu menegaskan, ketika ini dia dan Red memutuskan untuk tidak terburu-buru merujuk kembali.

Kata Adira, 33, mereka berdua malah terbuka untuk memberi peluang dan ruang bagi menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu sebelum kembali berumah tangga.

Sebelum ini, penyanyi Takdir Tercipta itu pernah menepis tuduhan segelintir pihak bahawa dia mempermainkan institusi rumah tangga apabila menyatakan hasratnya untuk merujuk kembali dengan Red, 46.

Bahkan ketika ditemui pada majlis pelancaran produknya semalam, Adira sekali lagi menolak persepsi dia cenderung melakukan hal sedemikian terutama selepas terbabit melakukan gimik yang menyaksikan Red menghadiahkan cincin emas.

“Babak cincin diberi ketika acara itu berlangsung bukanlah niat untuk main-main, tapi itu adalah sebahagian daripada aksi untuk menyempurnakan acara berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sangat-sangat bersyukur sebab Abang Red beri komitmen penuh.

"Saya sangat menghargai kerana dia ikhlas mahu membantu,” katanya pada pelancaran cincin terbaru Siti Adira Mira Gold Collection di sebuah kompleks beli-belah di Shah Alam.

Pada majlis berkenaan, Adira turut diperkenalkan sebagai rakan kolaborasi jenama itu.

Adira dan Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Dis 2015 dan dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob yang kini berusia dua tahun.

Mereka kemudian berpisah pada 24 April lalu apabila Red menceraikan Adira dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor.

Sementara itu, pengasas Mira Gold, Nor Dhamirah Daling dan suami, Mohd Zulatika Ghani, 34, berkata gimik tersebut bukanlah atas dasar ingin mengambil kesempatan atas apa yang berlaku.

Kata Nor Dhamirah, 33, ia hanya bertujuan mencantikkan majlis yang berlangsung malah pihaknya sudi memberi tajaan penuh kepada Adira dan Red sekiranya mereka ingin bersatu sebagai suami isteri lagi.

“Saya adalah orang yang sering doakan kebahagiaannya. Kalau dia rasa Abang Red adalah yang terbaik untuknya saya sudi taja perkahwinan mereka sepenuhnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS