Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PM New Zealand utus surat ucap terima kasih kepada Khairul Aming
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Pempengaruh masakan dan usahawan, Khairul Aming berkongsi kegembiraannya menerima surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkata surat bertarikh 16 September dari Wellington, New Zealand itu diterimanya selepas Luxon bersama rombongannya berkunjung ke negara ini kira-kira tiga minggu lalu.

“Nak share dengan you guys yang kita baru sahaja terima surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand di Wellington,” katanya melalui ciapan di X.

Anak kelahiran Kota Bharu Itu  turut melampirkan surat daripada Luxon yang  melahirkan rasa terima kasih kerana mengacarakannya semasa sarapan pagi tempatan di Restoran Hidang di Kuala Lumpur pada 3 September lalu. Ia adalah sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke Malaysia.

"Memang memberi inspirasi untuk mengetahui kisah kamu, dari permulaan kecil membuat video memasak semasa penutupan Covid-19 hinggalah kepada usaha semasa kamu hari ini, termasuk sambal yang banyak diminati,” kata Luxon.

Perdana menteri New Zealand itu  juga berterima kasih kepada Khairul Aming yang mengajarnya membuat "roti jala dan cendol yang lazat."

"Saya dapati video sarapan kita sudah mencecah lapan juta tontonan di Instagram dalam beberapa hari. Saya tahu itu pencapaian sangat luar biasa.

"Industri pelancongan New Zealand pastinya menghargai usaha anda selepas menyaksikan pengaruh yang dibawa kamu," kata Luxon lagi.

Khairul Aming yang merupakan graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat juga sinonim dengan siri video Ramadan berjudul 30 Hari 30 Resepi saban tahun.

Setakat ini, dia memiliki dua kilang di Kota Bahru. Dalam ciapannya itu dia juga  meminta orang ramai mendoakannya agar kerjayanya sebagai pencipta kandungan mampu mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS