Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alif Teega mengaku tak bersalah seleweng dana awam
Diterbitkan:  Sep 20, 2024 11:26 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Alif Teega didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam bernilai lebih RM63,000 yang diperoleh melalui dua program amal pada April dan Jun lalu.

Bagaimanapun pempengaruh itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan hakim Azura Alwi.

“Saya mohon bicara,” katanya.

Alif menghadir perbicaraan itu dengan memakai baju kemeja petak dan ditemani isterinya, Aisyah Hijanah. Dia dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh.

Menurut laporan Harian Metro, melalui pertuduhan pertama lelaki terbabit didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Mekah, Syria, dan Palestin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh terbabit didakwa juga secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan Jom! Sertai Infaq Daging Qurban di bank yang sama pada 15 Jun lalu.

Nafi untuk peribadi

Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.

Pada Julai lalu Alif dan isterinya yang juga pempengaruh popular direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya atas dakwaan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.

Turut direman ialah dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Perintah reman itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahannya.

Pasangan kontroversi terbabit kemudian membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahan reman tersebut.

Bagaimanapun, hakim Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan mereka apabila mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Pempengaruh terbabit melalui peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pasangan itu turut menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang itu atas kepentingan peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS