Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Uyaina tak serik sebar kesedaran isu gangguan seksual kanak-kanak
Diterbitkan:  Sep 19, 2024 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, mengakui tidak jera untuk terus memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung isu gangguan seksual terhadap kanak-kanak meskipun tindakannya dikecam segelintir pihak.

Katanya, sebagai artis adalah penting untuk dia menggunakan platform sedia ada bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar sentiasa bersikap melindungi kanak-kanak.

“Saya tidak serik untuk bersuara. Sama ada kecaman, makian, kritikan atau kutukan, saya terima. Alhamdulillah bagi saya, inilah cabaran untuk memberi pendidikan kepada umum.

“Bukan nak kata saya ada latar belakang dalam bidang undang-undang, benda ini hanya perlukan otak itu saja.

“Lagipun, isu dibangkitkan terkait akta sudah diciptakan, bukan saya buat sendiri. Apa dilakukan (tindakan) itu menurut akta tersebut adalah salah, jadi siapa saya untuk cakap sesuka hati?” katanya.

Pada masa sama, Uyaina yang juga pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, dia tidak berkecil hati apabila ada pihak menggelar dia dengan gelaran terpaling tahu dalam semua perkara.

“Nak cakap saya yang terpaling itu terpulang, saya hanya mahu cipta kesedaran itu saja,” katanya ketika diwawancara melalui video tular di media sosial.

Sebelum itu, Uyaina, 31, lantang bersuara berhubung isu seorang pemandu bas yang memuat naik kandungan video di platform media sosial memaparkan pelajar sekolah.

Menurut pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu, tindakan berkenaan dikhuatiri boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah membabitkan kanak-kanak.

Seorang pemandu bas sebelum ini didakwa di mahkamah di Johor atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan pada 17 Sept lalu.

Keluarga pemandu bas terbabit dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang yang didakwa mengundang kecaman terhadap anak mereka.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung keprihatinan orang ramai yang sudi menderma bagi meringankan beban pemandu bas terbabit untuk membayar wang ikat jamin, Uyaina berkata, setiap individu berhak mendapat pembelaan.

“Itu adalah hak undang-undang untuk semua orang. Tidak kira dia siapa. Alhamdulillah ada peguam secara pro bono (sukarela) ambil kes tersebut.

“Saya pun tidak pernah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa kerana itu adalah tugas mahkamah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS