Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nora: Jodoh pertemuan rahsia Allah, ambil iktibar apa berlaku

Penyanyi Nora Ariffin beranggapan keputusannya untuk bersetuju rujuk semula dengan Rushdi Ramli, adalah ketentuan Allah.

Tambahnya, dia bersyukur kerana jodohnya kembali dengan pensyarah kanan di Jabatan Figh dan Usul Universiti Malaya itu malah mengambil iktibar atas kemelut rumah tangganya sebelum ini.

“Jodoh pertemuan adalah rahsia Allah. Apa yang berlaku bukan kehendak kami tapi kami bersyukur kerana kuasa Allah yang menyatukan kembali perkahwinan kami.

"Alhamdulillah, kami ambil iktibar apa yang berlaku dan saling memaafkan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada Ogos lalu, Nora, 51, diceraikan dengan talak satu oleh Rushdi dan lafaz itu dibuat melalui rakaman video yang dimuat naik di Instagram penyanyi Aku Tidak Di Matamu itu.

Namun Nora baru-baru ini mengesahkan mereka sudah kembali menjadi pasangan suami isteri dan ia berlaku selepas sebulan berpisah.

Penyanyi itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Johan Nawawi sebelum komposer terkenal berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017.

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, namun anak kedua, Muhammad Syakir Aliff meninggal dunia pada 14 Dis 2019.

Penyanyi yang juga terkenal melalui lagu Di Persimpangan Dilema itu turut berharap orang ramai mendoakan apa yang menimpa perkahwinannya tidak berulang.

Katanya, dia berharap kebahagiaan rumah tangganya itu akan berkekalan.

“Kita sama-sama doakan yang baik untuk semua orang. Insya-Allah, setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS