Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sean 'Diddy' Combs dinafi ikat jamin kerana berisiko larikan diri
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 5:30 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Selebriti hip-hop Sean 'Diddy' Combs dinafikan ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan pemerdagangan seks.

Hakim mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS), AS Robyn Tarnofsky memerintahkan Combs kekal dalam tahanan selepas mendengar hujah pendakwaan mengenai risiko penyanyi itu melarikan diri dari kawasan atau luar negara sebelum perbicaraan bermula.

Menurut pihak pendakwaan, Combs ditahan pada 16 Sept lalu atas tuduhan menjalankan perusahaan jenayah kira-kira sejak 2008 yang bergantung pada dadah dan keganasan dengan memaksa mangsa memenuhi kehendak seksualnya.

BBC melaporkan dakwaan setebal 14 muka surat merekodkan tertuduh melakukan aktiviti haram, pemerdagangan seks dan pelacuran.

Sekiranya disabit kesalahan atas ketiga-tiga pertuduhan, penyanyi rap dan penerbit rakaman terbabit bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun hingga seumur hidup.

Combs hadir berkemeja-T hitam dan seluar berwarna kelabu semasa prosiding di Manhattan diminta membuat pengakuan oleh Tarnofsky.

Penyanyi itu berdiri dan mengaku: “Tidak bersalah.”

Rapper tersebut adalah sasaran beberapa saman sivil yang menggambarkannya sebagai seorang pemangsa seks ganas yang menggunakan alkohol dan dadah untuk melemahkan mangsanya.

Kediamannya diserbu pada bulan Mac lalu oleh ejen persekutuan.

Ejen bersenjata memasuki kediaman mewahnya di Miami dan Los Angeles, menandakan kejatuhan bagi tokoh berpengaruh dalam industri muzik yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini cuba menjenamakan semula dirinya sebagai Brother Love.

Menurut dokumen mahkamah, Combs menggunakan status kuasanya untuk mengumpan wanita terbabit dalam aktiviti seks berhari-hari digelar Freak Offs.

“Sewaktu Freak Offs, Combs mengedarkan pelbagai bahan terkawal kepada mangsa supaya mereka patuh,” kata dakwaan itu.

Dalam taklimat kepada media, pendakwa AS Damian Williams berkata pegawai menemui senjata api, peluru dan lebih 1,000 botol pelincir sewaktu serbuan di rumah Combs di Miami dan Los Angeles, kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, ejen persekutuan juga menemui tiga senapang separa automatik dengan nombor siri yang rosak dan satu senjata drum magazine.

Pendakwa itu memberitahu bahawa kemungkinan terdapat pertuduhan lanjut namun tanpa menjelaskan butiran khusus.

Pihak pendakwaan menuduh Combs mencipta perusahaan jenayah di mana anggota di bawah arahannya terbabit dalam pemerdagangan seks, buruh paksa, penculikan, pembakaran dan rasuah.

Dokumen mahkamah mendakwa, Combs menyerang wanita dengan memukul, menumbuk, mengheret, membaling objek dan menendang mereka.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak menjelaskan secara khusus berapa jumlah wanita yang menjadi mangsa. Ia juga tidak menuduh Combs terbabit secara langsung dengan perbuatan seksual dengan mana-mana wanita.

Pengasas rekod Bad Boy berkenaan yang pada awal kariernya dikenali sebagai P Diddy dan Puff Daddy pernah berdepan pelbagai tuduhan sebelum itu.

November lalu, bekas teman wanitanya, penyanyi Casandra Elizabeth Ventura atau Cassie memfailkan saman sivil terhadap Combs atas tuduhan menyeksanya lebih sedekad dengan kekerasan fizikal dan dadah serta rogol pada 2018. Combs menafikan kesemua tuduhan terbabit namun berjaya menyelesaikan kes itu di luar mahkamah sehari selepas ia difailkan.

Mei lalu, Combs menyiarkan permohonan maaf secara terbuka selepas klip video mendedahkan dia membelasah Cassie di sebuah hotel di Los Angeles tular.

Dakwaan semalam ke atas Combs menuduhnya melakukan keganasan sama. Ia rentetan dakwaan serangan seksual terhadap Combs, salah seorang mogul muzik paling berjaya dalam sejarah rap.

Empat wanita, termasuk Cassie telah memfailkan saman menuduhnya melakukan penderaan seksual dan fizikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS