Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Harith bidas GISBH samakan serbuan polis dengan situasi Gaza
Diterbitkan:  Sep 18, 2024 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Pelawak Harith Iskander menempelak tindakan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali kerana membandingkan serbuan polis terhadap organisasi terbabit dengan kekejaman yang berlaku di Gaza.

“Maaf, sekiranya ada seseorang yang mahu mengalihkan perhatian berhubung apa yang berlaku kepada mereka dan membandingkan ia dengan Gaza, ibarat mereka adalah mangsa, saya tidak setuju.

“Ini cuma pandangan saya. Saya tidak berkata hal ini dari sudut agama. Ini jenayah terhadap kanak-kanak.

“Sangat dahsyat, jenayah yang sangat dahsyat berlaku ke atas kanak-kanak,” kata Harith melaui hantaran video yang disiarkan di Facebooknya.

Dalam video berkenaan pelawak yang juga pelakon itu mengulas beberapa kenyataan Nasiruddin yang membuatkannya keliru.

Hal itu termasuk rungutan Nasiruddin yang mendakwa pihak berkuasa boleh memilih pendekatan nasihat dan perbincangan namun berbuat yang sebaliknya.

“Oh, kamu mahu mereka nasihat dan berbincang terlebih dulu? Um… saya tidak pasti adakah itu tugas PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk berbincang dengan mereka yang disyaki pesalah laku terutama lepas menerima laporan dan menyiasat (aduan) berhubung berlaku dakwaan liwat dan penderaan seksual.

“Mungkin ada sesuatu hilang sewaktu terjemahan di situ,” sindirnya.

Harith, 58, juga membetulkan kenyataan Nasiruddin yang berkata lebih 400 kanak-kanak ditangkap dalam serbuan itu. Sebaliknya Harith menjelaskan bahawa mereka sebenarnya diselamatkan dan bukan ditahan pihak berkuasa.

Pada masa sama, pelawak itu melahirkan perasaan terkejutnya apabila Nasiruddin mengakui wujud satu atau dua kes liwat dalam kumpulan itu seperti siasatan polis.

“Apa? Jadi dia mengaku kesalahan itu. Saya tidak tahu mengenai kamu, tapi bagi saya ini adalah jenayah. Liwat kanak-kanak adalah rogol.

“Ini bukan mengenai mencuri seringgit atau dua ringgit daripada dompet ibu kamu. Ini adalah jelas penderaan seksual terhadap kanak-kanak,” tegasnya.

Selain itu, Harith mempertikaikan dakwaan Nasiruddin bahawa tindakan polis itu dibuat secara mengejut.

Katanya, polis sebaliknya sudah mengintip aktiviti pertubuhan terbabit lebih daripada sedekad.

“Jadi ini bukan serbuan yang dibuat dalam tempoh semalaman. Satu hari mereka bangun pagi dan oh, mari lakukan serbuan hari ini. Tidak, ini adalah hasil daripada penyiasatan yang lama," katanya.

Pelakon filem Baik Punya Cilok itu juga mengaku kehairanan apabila Nasiruddin mempersoalkan serbuan terbabit yang dijalankan tanpa rundingan kerana dia adalah Muslim malah syarikat terbabit juga mempromosikan ajaran Islam.

“Bagaimana dia boleh mengaitkan tugas PDRM dengan agama? Apa yang kamu mengarut,” katanya.

Pada 12 Sept lalu, polis menyerbu beberapa rumah kebajikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS