Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kejayaan luar biasa Rossa jadi inspirasi pelajar universiti

Filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years bakal menjadi sumber inspirasi kepada anak muda terutama mereka yang ingin menempa kejayaan luar biasa seperti penyanyi terkenal Indonesia, Rossa.

Rakan strategik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Aizuddin Ghazali, berkata selama 12 tahun menjalin kerjasama dengan penyanyi Pudar itu, dia mengenali penghibur terbabit sebagai seorang yang cemerlang sejak di universiti lagi.

“Justeru, saya rasa kisah ini sesuai dibawa untuk tontonan di Malaysia kerana kita nak lahirkan lebih ramai 'Rossa' untuk mengikut jejak langkahnya menempa kejayaan sejak di alam universiti hingga sekarang.

“Tidak semua yang belajar di situ itu boleh berjaya seperti Rossa. Ia satu kejayaan luar biasa yang ingin saya kongsikan di Malaysia apatah lagi Yayasan Prihatin banyak mendekati pelajar universiti. Sebab itu saya yakin dengan dokumentari ini.

“Kami akan bawa filem dokumentari ini menjelajah negeri-negeri dan sudah menghubungi beberapa pihak universiti untuk tayangan,” katanya.

Tambah Aizuddin, Rossa juga disifatkannya sebagai ‘wanita gila’ yang banyak mencipta sejarah terutama dalam menyatukan Malaysia dan Indonesia melalui muziknya.

Selesa paparkan kisah positif

“Rossa wanita pertama dari Indonesia berjaya buat konsert di Istana Budaya. Dia wanita yang suka buat kerja gila dan berikan cabaran malah pencinta Rossa juga berikan sokongan luar biasa.

“Walaupun harga tiket konsertnya mahal berbanding konsert lain, Rossa tidak pernah lupa untuk menyumbangkan sebahagian daripada hasil kutipan tiket konsertnya untuk kebajikan kepada anak-anak di kampus Malaysia,” katanya.

Aizuddin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media All Access to Rossa 25 Shining Years di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Dokumentari itu memaparkan sisi lain penyanyi terbabit selain membuka kisah peribadinya yang selama ini banyak dirahsiakan. Misalnya hubungan dia dengan bekas suami, Surendro Prasetyo atau Yoyo.

All Access to Rossa 25 Shining Years bakal ditayangkan 18 Oktober ini mendapat sentuhan sutradara, Ani Ema Susanti, turut menampilkan temu bual eksklusif bersama anak Rossa, Rizky Langit Ramadan.

Filem berdurasi 90 minit itu turut menampilkan rakan seperjuangannya seperti Melly Goeslaw, Ariel dan Afgan.

Rossa berharap naskhah tersebut menjadi inspirasi kepada penonton terutama wanita untuk terus berusaha agar impian mereka menjadi kenyataan.

“Sudah tentu ada kisah tidak baik, tapi saya lebih selesa untuk paparkan hal-hal positif yang boleh diambil sebagai mesej berguna.

“Saya rasa semua wanita memiliki kekuatan luar biasa, cuma saya yang mempunyai kesempatan untuk bercerita.

“Jika mahukan karier yang panjang, banyak cabaran keras perlu dilalui. Saya seorang yang kuat bekerja keras agar dapat hasilkan usaha kreatif dan karya baru tidak kalah dengan zaman,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS