Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hubungan Rossa, Yoyo Padi Reborn bagai abang dengan adik

Bukan menyokong perceraian, sebaliknya penyanyi Rossa berlapang dada menerima takdir bahawa hubungannya dengan pemain dram Padi Reborn, Yoyo, sebagai suami dibiarkan kekal sebagai abang dan adik.

Kata Rossa, anaknya, Rizky Langit Ramadan, yang menginjak dewasa ketika ini sudah boleh menerima perpisahan mereka bahkan menyenangi kehidupan tanpa seorang ayah di sisi.

Pemilik nama penuh Rossa Roslaina Handiyani itu juga mendedahkan, Rizky pernah meluahkan perasaan bahawa dia enggan melihat mereka kembali sebagai suami isteri.

“Rizky lebih senang melihat ibunya gembira seperti sekarang. Dia tidak pernah memaksa kami rujuk.

“Saya tidak katakan perceraian itu baik. Dalam hal ini, ia mungkin adalah antara jalan terbaik untuk saya keluar dari perkara lain yang lebih tidak baik.

“Kadang-kadang ada pasangan itu cocok sebagai suami isteri, ada juga yang tidak. Mungkin, kalau kami teruskan juga, keadaan sekarang tidak seperti ini.

“Tiada lagi cinta, saya dan Yoyo akhirnya seperti abang dan adik, kami juga sebagai orang dewasa yang saling menyokong karier satu sama lain,” katanya.

Justeru, pesan Rossa kepada ibu tunggal yang lain, kehidupan harus diteruskan dan jalani ia dengan pelbagai pilihan.

“Kita semua memiliki takdir yang berbeza-beza, apa pun bersyukurlah. Kita boleh saja menangis dan berhenti berjalan, namun ia tidak membawa kebaikan.

“Kita sewajarnya teguh berdiri dan bekerja untuk diri sendiri agar ja bawa manfaat kepada keluarga kita,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, semalam.

Tetap satu keluarga

Rossa dan Yoyo mendirikan rumah tangga pada 2004 namun ikatan pernikahan mereka hanya mampu bertahan selama lima tahun.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky yang kini berusia 18 tahun.

Baru-baru ini, Rizky dalam satu wawancara di YouTube Curhat Bang Denny Sumargo mengakui dia pernah membenci sosok bapanya itu kesan perceraian yang berlaku.

Rossa yang juga penyanyi Tegar dan Atas Nama Cinta itu mendedahkan, Yoyo adalah individu terakhir yang menyertai All Access to Rossa 25 Shining Years itu.

Kata Rossa, 45, Yoyo mengambil masa beberapa hari sebelum bersetuju untuk mendedahkan kisah peribadi mereka dalam dokumentari berkenaan.

“Kenapa kisah ini baru didedahkan sekarang adalah kerana ia tidak lagi akan merugikan mana-mana pihak.

“Kami berdua sudah bertenang dan saya juga mahu pastikan Rizky bersedia untuk berkongsi perasaan mengenai perceraian kami,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Rossa, tidak semua kisah peribadi dan perceraiannya didedahkan di dalam filem dokumentari itu.

Katanya, perjalanan kisah itu lebih memfokuskan kepada perjalanan kerjaya seninya sepanjang tempoh 25 tahun ini.

“Masalah perceraian itu cukup berat kerana ia mengenai keluarga.

“Ramai anak ada masalah seperti Rizky tapi sekarang kami sudah berdamai dan tetap sebagai keluarga.

“Hal peribadi yang akhirnya kita fikir, OK ceritakan dalam filem tapi sudah pasti ada hal tidak baik tidak sesuai diceritakan.

“Saya pilih untuk paparkan kisah yang baik-baik supaya dijadikan contoh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS