Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syamsul, Ira cerai talak satu
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Selangor hari ini mengesahkan pelakon dan pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan Ira Kazar bercerai talak satu.

Pengesahan itu dibuat Hakim Syarie Mohd Faizal Habib selepas berpuas hati dengan pengakuan Ira berhubung wujud pelanggaran taklik.

Peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais pula berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya pelanggaran lafaz taklik selepas Ira mengakui membuat hantaran di media sosial.

“Tempoh idah Ira juga bermula pada tarikh pelanggaran taklik (14 Ogos lalu),” katanya dipetik Sinar Harian.

Syamsul, atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan perceraian ke atas Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, 19 Ogos lalu.

Sebelum ini Syamsul, dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Perkara itu disahkan oleh Syamsul, 40, melalui sebuah video dimuat naik dalam Instagram peribadinya pada Januari tahun lalu. 

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah yang ketika itu isteri pertama Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.

Sementara itu, peguam syarie, Muhammad Fadhil Abd Razak yang mewakili Ira berkata, mahkamah mendapati perceraian pasangan itu berlaku di luar mahkamah.

“Mahkamah telah mendapati perceraian telah berlaku antara pihak Syamsul dengan anak guam saya (Ira).

“Fokus kita adalah pengesahan lafaz cerai dan keterangan telah diambil dan keputusan sudah dibuat hari ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS