“Rindu serindu-rindunya sampai tahap menggigil,” luah gitaris band iamNEETA, Patrick Anohada, yang tiba-tiba kehilangan anak sulungnya, Kayla, pada 21 Ogos lalu.
Kata Patrick, sebelum Kayla meninggal dunia secara mengejut, kanak-kanak berusia 3 tahun 11 bulan itu menunjukkan banyak perubahan sikap yang ketara.
Bagaimanapun, sebagai bapa, Patrick berkata, ketika itu dia cuba mengelak daripada berfikiran negatif.
“Dia tunjukkan banyak tanda-tanda seperti nak pulang ke kampung di Membakut, Sabah dan nak belajar cara bersembahyang.
"Kami tidak pernah mengajar dia sebelum itu.
“Apa saja kemahuannya kami sempat turutkan. Lebih menghibakan apabila Kayla minta saya belikan sayap bidadari.
“Dia juga mudah mesra dengan sesiapa yang ditemui sewaktu kami adakah persembahan di Keningau baru-baru ini.
"Memang saya tertanya-tanya kenapa, tapi tak mahu fikir yang bukan-bukan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, Patrick belum bersedia berkongsi lanjut berhubung pemergian anaknya itu kepada umum kerana ketika ini keluarganya masih berkabung selama 40 hari.
Patrick mendirikan rumah tangga dengan Jevy pada 18 Feb 2020. Selain Kayla, pasangan itu juga dikurniakan seorang lagi anak perempuan, Alayna Ivelle yang usianya genap dua tahun semalam.
Untuk rekod, selain Patrick, turut menganggotai iamNEETA, Neeta Manis (vokalis) dan Anas Zakwan (bass).
Ditanya mengenai penerimaan Alayna terhadap kematian Kayla, Patrick berkata, anak bongsunya itu sudah boleh memahami.
“Kami tunjuk gambar kakaknya dan katakan bahawa Kayla sudah tak ada, dia cepat faham walaupun baru berusia 2 tahun,” katanya.
Ditanya perancangannya bersama keluarga, Patrick berkata, dia akan meneruskan kehidupan baru selepas menjual rumah yang diduduki di Kota Kinabalu, Sabah itu.
Katanya, dia dan isteri memilih berbuat demikian kerana kediaman itu menyimpan terlalu banyak kenangan.
“Kami nak pindah rumah sebab terlalu banyak memori bersama Kayla di sini. Saya juga akan tutup pejabat dan mulai bekerja di rumah. Itu antara perancangan saya,” katanya.