Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kataseni langkah awal lahirkan penulis, pengkritik seni berkualiti
Diterbitkan:  Sep 5, 2024 9:10 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Menulis dan menghasilkan kritikan seni memerlukan seseorang memahami banyak aspek, termasuk karya yang dihasilkan, sejarah seni dan seniman yang menghasilkan karya-karya tersebut.

Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan lebih ramai penulis berkualiti serta mampu membuat kritikan seni, satu inisiatif yang diberi nama Kataseni dianjurkan.

Program itu berlangsung selama dua hari berturut-turut dengan kerjasama komuniti Kataseni dan Balai Seni Negara yang dijayakan menerusi Tabung Bantuan Seni.

Antara tujuan utama ia diadakan ialah untuk memperkukuh ekosistem seni tanah air melalui penulisan dan kritikan yang lebih mendalam.

Sebagai sebahagian daripada program itu peserta dibawa ke pameran Pesan dan Kenangan yang dianjurkan oleh Harta Art Gallery.

Ia menampilkan koleksi seni yang dimiliki seorang kolektor seni dan peguam yang disegani, Pakharudin Sulaiman.

Peserta program juga diberi peluang untuk melihat dan memahami dengan lebih mendalam karya-karya yang dipamerkan, serta berdialog dengan Pakharudin mengenai falsafah dan proses di sebalik koleksinya.

Lawatan di Studio Gudang

Lawatan kedua pula diadakan di Studio Gudang milik pelukis terkenal di Malaysia, Hamir Soib. Di studio terletak di Kuang, Selangor itu peserta mendapat pendedahan secara langsung tentang proses kreatif Hamir.

Ia melibatkan pengaruh budaya dan sosial yang mencorakkan karya-karya Hamir.

Pengarah projek Kataseni, Abdullahjones, berkata pihaknya berharap usaha murni itu dapat melahirkan lebih ramai penulis dan pengkritik yang benar-benar memahami seni.

"Program ini adalah langkah awal yang penting dalam usaha kita melahirkan penulis dan pengkritik seni yang berkualiti.

“Dengan pendedahan yang lebih mendalam terhadap dunia seni, kami berharap kita dapat membina satu generasi baru yang bukan sahaja mampu menulis dengan baik tetapi juga mempunyai sensitiviti dan pemahaman yang mendalam terhadap seni," katanya.

Abdullahjones

Abdullahjones berkata, peserta juga diminta menulis sekurang-kurangnya dua rencana berkenaan program yang dilalui dan ia akan disiarkan di portal Senimalaya.com.

"Program Kataseni ini juga diharap menjadi platform yang terus relevan dan bermanfaat dalam usaha memperkasakan industri seni tempatan, serta merangsang lebih banyak dialog kritikal mengenai karya-karya seni yang dihasilkan oleh seniman tanah air," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS