Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dana susut, YKAT ikhtiar aktiviti beri pulangan wang bantu artis veteran

Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) akan melakukan pelbagai usaha untuk menambah sumber kewangan ekoran jumlah dana yang semakin menyusut ketika ini.

Pengerusinya, DJ Dave, berkata antara langkah yang akan diambil termasuklah mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri.

Katanya, YKAT berdepan masalah kekurangan dana sejak beberapa tahun lalu sehingga mengekang mereka untuk terus menyalurkan bantuan kepada artis veteran yang memerlukan.

“Sejak 13 tahun ditubuhkan, kami sudah berjaya bantu 1,900 artis veteran yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum.

“Selain itu, kami juga berikan pencen RM500 bulanan kepada sembilan artis veteran yang layak seperti penyanyi Zaiton Sameon.

“Namun, jumlah dana yang kami ada sekarang semakin menyusut dan YKAT perlu lakukan pelbagai ikhtiar termasuk berjumpa dengan menteri bagi meringankan beban artis veteran,” katanya.

DJ Dave ditemui pada sidang media sempena penganjuran Makan Malam Amal Selebriti Asia 2024 dan Forum Pertukaran Ekonomi, Perdagangan, Pelaburan, dan Budaya Malaysia-China di Wisma Huazong, di Seri Kembangan, Selangor semalam.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor.

Forum dan malam gala amal berkenaan dijadual berlangsung pada 13 Oktober ini di Wisma Huazong manakala 15 Oktober di Melaka.

Pada Okt tahun lalu, YKAT mengumumkan akan memberi pencen bulanan kepada Zaiton berikutan masalah hidup penyanyi berkenaan selepas jarang mendapat tawaran.

YKAT yang mula beroperasi sejak 25 Jun 2012 sudah membantu ramai artis veteran termasuk di Sabah dan Sarawak yang mengalami masalah seperti sakit, kemalangan, dimasukkan ke hospital, lumpuh dan sebagainya.

DJ Dave berkata, YKAT akan membuat permohonan bertulis kepada kerajaan bagi mendapatkan bantuan dana untuk memastikan kebajikan golongan veteran terus terbela.

“Kami kena cari duit dengan menulis kepada kerajaan agar mereka dapat membantu selain terbabit aktiviti yang boleh membantu memberi pulangan dana,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS