Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Doa buat Mamat tidak pernah putus untuk kembali ke pentas - Exists
Diterbitkan:  Sep 1, 2024 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Doa buat vokalis kumpulan Exists,  Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, agar beliau dapat kembali beraksi di pentas tidak pernah putus.

Menurut pemain bes kumpulan itu, Musa Radhi, peminat juga sentiasa mendoakan kesejahteraan Mamat yang sedang menjalani rawatan pemulihan daripada penagihan dadah.

“Doa kita tak putus, kita nak dia (Mamat) baik semula untuk dia kembali ke pentas (menyanyi), sebab tempat dia memang di pentas sebenarnya.

“Rata-rata peminat dah tahu tentang ketiadaan Mamat, tapi mereka masih kuat bertanya tentang dia dan kami tidak rasa jemu untuk beritahu (peminat)... ini adalah sokongan moral yang Mamat dapat daripada pendukungnya walaupun dia sedang menjalani pemulihan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Rock Nostalgia, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau juga berharap rawatan yang sedang dijalani Mamat itu menjadi “fasa akhir” sebelum penyanyi tersebut kembali ke pangkuan masyarakat dan kekal bebas dadah.

Pada Julai lepas, Mamat yang sebelum ini berdepan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019, berjaya dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjaranya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, sebelum dijatuhi hukuman denda RM4,000 serta dua tahun pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan.

Mamat memulakan kerjaya dalam bidang muzik bersama Exists pada awal 1990-an, serta popular dengan lagu-lagu seperti Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara dan Langkah Seiringan sebelum meneruskan kerjaya secara solo pada 1995.

Sementara itu, pemain keyboard Exists dan komposer Mohamad Faizal Maas, atau lebih dikenali Ajai, pula memberitahu masalah peribadi Mamat tidak ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

“Pun begitu, kami tidak akan serik dengan Mamat. Kalau kami serik, kami tak akan panggil dia semula untuk membuat konsert bersama.

“Malah, setiap kali ada tawaran konsert pun kami akan syorkan kepada penganjur nama dia dan penganjur pun suka kalau dia ada. Kami sendiri juga lebih suka kalau Mamat dan Ezad Lazim (juga bekas penyanyi Exists) ada bersama,” katanya, menambah Mamat mungkin dapat kembali menyanyi tahun depan dengan kebenaran AADK.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS