Penyanyi Hafiz Suip tampil memohon maaf selepas tular klip rakaman menunjukkan dia bergaduh dengan seorang individu lain.
Dalam rakaman yang dikongsikan rakan Hafiz, Uthman Daud, kedua-duanya berdamai dengan masing-masing mengakui kesilapan.
Individu terbabit mengakui kekhilafannya hingga menambah kekeruhan, sementara Hafiz, 34, berkata, sebagai seorang yang lebih muda, dia perlu meminta maaf terlebih dulu atas kejadian yang tercetus selepas solat Jumaat hari ini.
“Kita kasi tenang (beritahu) sebenarnya kita tiada apa pun (gaduh). Saya pun mengaku salah, saya pun marah ada buat sesuatu uncle tidak suka, jadi saya minta maaf.
“Sebagai seorang yang lebih budak (muda) daripada uncle saya minta maaf,” kata Hafiz.
Pak cik itu kemudian menghulurkan tangannya untuk bersalaman dan ia kemudian disambut oleh penyanyi Awan Nano itu.
Hafiz juga dilihat mencium tangan pak cik itu.
Lelaki itu berkata, “Ini macamlah.. Ini kira nasiblah hari ini.”
Pada penghujung video berkenaan, kedua-duanya dilihat saling berpelukan.
Terdahulu, sebuah klip video tular di media sosial memaparkan Hafiz terlibat dalam satu pergaduhan di jalan raya.
Tampil memberikan penjelasan, Uthman berkongsi kronologi kejadian di laman Facebook.
“Assalamualaikum, mungkin ada yang tengok video pergaduhan Hafiz Suip yang berlaku selepas Jumaat tadi, oleh kerana video yang tersebar hanya sekejap, biarlah saya terangkan kronologi.
“Selepas solat Jumaat, kami dalam perjalanan untuk membeli hamper hadiah untuk ziarah rumah keluarga peminat Hafiz yang sudah meninggal dunia kerana semalam merupakan hari ke-100 pemergiannya.
“Ketika dalam perjalanan, ada sebuah kenderaan yang mencucuk dari belakang, maka provokasi pun berlaku daripada kedua belah pihak," katanya.
Tambahnya, situasi bertambah serius apabila Hafiz didakwa dikasari dan diserang dengan serbuk lada ketika kejadian.
“Kemuncaknya adalah apabila pemandu tersebut mula menghalang laluan dan berhentikan kereta kami, kemudian kedua-duanya tengah marah dan keluar dari kereta.
“Tiba-tiba pemandu tersebut sembur muka Hafiz dengan pepper spray. Saya cuba leraikan keadaan, tapi pemandu tersebut masih meluru ke arah Hafiz.
“Dalam keadaan saya cuba leraikan keadaan, saya juga disiku dan disembur (serbuk lada) hingga saya sesak nafas, jadi saya sendiri pun melepaskan tumbukan selepas melihat dia terlalu agresif.
“Sekarang masih di hospital untuk menerima rawatan kerana kulit masih pedih,” katanya.