Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahkamah tolak tangguh hukuman, Da’i Syed dihantar ke Penjara Kajang

Pendakwah selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ini berikutan keputusan hakim Norazlin Othman menolak permohonan Syed Shah Iqmal, 29, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

“Permohonan untuk menangguhkan hukuman adalah ditolak kerana tiada keadaan khas yang membuktikan rayuan ke Mahkamah Tinggi adalah automatik untuk menangguhkan hukuman dan begitu juga merit dalam rayuan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata dalam kes ini tiada satu keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan mengambil kira kesalahan jenayah yang telah dibuktikan.

Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh berkata sekiranya penangguhan dibenarkan ia tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana satu ikat jamin baru akan diberikan berserta syarat yang lebih ketat untuk memastikan tertuduh tidak melarikan diri.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas mendapati dia bersalah merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di Shah Alam, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 Sept 2019.

Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan tersebut.

Sepanjang prosiding hari ini, tertuduh yang memakai sut itu menangis dan menundukkan mukanya ketika berada di kandang tertuduh.

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan, isteri kepada Syed Shah Iqmal, Nurulhana Ismail, 38, dilihat memeluk dan menenangkan suaminya yang menangis selepas mendengar keputusan tersebut.

Ahli keluarga turut membawa bayi perempuan pasangan itu yang berusia 16 hari untuk berjumpa Syed Shah Iqmal sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS