Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Che Ta saran pendekatan kasih sayang sempena 31 Ogos

Pelakon Rozita Che Wan menyeru ibu bapa supaya menggunakan pendekatan bijak melalui kasih sayang bagi menangani krisis institusi kekeluargaan.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta meluahkan demikian kerana bimbang semakin ramai kes remaja lari dari rumah sama ada bagi mendapatkan kebebasan, mengikut teman lelaki atau pengaruh rakan sebaya.

Justeru, pelakon drama Kiah Pekasam itu menggalakkan ibu bapa untuk memberi tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak agar dapat mengukuhkan institusi keluarga sempena Hari Kebangsaan yang ke-67 bakal disambut pada 31 Ogos ini.

“Hari-hari saya ingatkan anak saya, Aaisyah Dhia Rana, supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling.

“Saya bimbang apabila baca berita yang melaporkan ada orang anak mereka yang masih kecil tidak balik dan ada yang dah remaja pun tidak balik rumah.

“Di rumah ibu bapa kena bagi kasih sayang melimpah sampai anak rasa mereka tidak mahu lari dari rumah,” katanya.

Lebih membimbangkan kata Che Ta, 50, ada segelintir anak-anak yang lebih mempercayai orang luar malah ada yang menganggap keluarga sendiri sebagai entiti asing dalam hidup mereka.

“Ada yang dilaporkan lari dari rumah kerana ikut 'jantan' ini gilakah? Mereka boleh tinggalkan ibu bapa kerana 'jantan'. Mereka lebih percayakan orang luar yang baru dikenali daripada ibu bapa sendiri,” katanya.

Ambil sedikit masa

Menurut isteri pelakon Zain Saidin itu, ibu bapa wajar memberi perhatian, kemesraan dan kasih sayang kerana ia boleh memberi kesan positif sepanjang hayat kepada anak-anak.

“Alhamdulillah, anak-anak yang dah besar semua masih nak duduk dengan saya,” katanya ketika ditemui majlis pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Astro di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Che Ta, kemerdekaan tidak bererti sekiranya negara ini tidak bebas daripada jenayah yang merekodkan peningkatan yang semakin membimbangkan.

Katanya, kemerdekaan bukan semata-mata difahami bebas daripada dijajah.

Menurut Che Ta, rakyat Malaysia wajar ambil sedikit masa untuk merenung dan menghayati erti makna merdeka dalam erti kata sebenar.

“Setiap tahun kita bercakap soal merdeka, tapi merdeka bukan saja bebas daripada dijajah. Dengan keadaan (kes jenayah) sekarang kamu rasa adakah kita merdeka?

“Hari-hari dengar anak orang itu kena culik, ada bapa rogol anak. Jadi, saya sebagai rakyat rasa kita masih belum capai kemerdekaan.

“Kita sudah berada pada tahun 2024 tapi kenapa masalah jenayah semakin berleluasa,” katanya.

Selain Aaisyah, Che Ta juga mempunyai dua lagi anak iaitu Aniq Ezzra dan Ammar Effendy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS