Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syamsul Yusof sedia lafaz cerai, Ira Kazar tak hadir ke mahkamah

Mahkamah Rendah Syarie Gombak Timur di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Pengarah Filem Syamsul Yusof, telah bersedia untuk melafazkan cerai terhadap isterinya Ira Kazar.

Bagaimanapun, peguam Azmi Mohd Rais mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif berkata Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, 29, tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau baharu melantik peguam.

“Saya dimaklumkan defendan (Ira) telah lantik peguam iaitu Muhammad Fadhil Abd Razak dan beliau telah maklumkan Ira tidak akan hadir ke mahkamah hari ini. Saya telah nasihat anak guam saya (Syamsul) untuk tidak hadir pada prosiding hari ini, walaupun beliau telah bersedia untuk melafazkan cerai pada hari ini.

“Saya tak pasti Ira setuju terhadap permohonanan penceraian ini memandangkan Ira telah lantik peguam, oleh itu saya mohon mahkamah tetapkan tarikh sebutan kes seterusnya untuk dengar penjelasan daripada peguam Ira,” katanya pada sebutan kes di hadapan Hakim Syarie Maizatul Aliza Chee Din.

Pembantu Perundangan Ahmad Fuad Borhan yang hadir bagi pihak Muhammad Fadhil berkata pihaknya telah memfailkan wakalah, iaitu surat lantikan peguam berserta notis pemakluman kepada peguam plaintif tengah hari tadi.

Maizatul Aliza kemudian menetapkan 25 Sept untuk sebutan kes.

Syamsul, 40, memfailkan permohonan penceraian pada 19 Ogos, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor.

Beliau bernikah dengan Ira yang juga anak kepada pelakon Kaza Saisi pada 6 Jan 2023 di Selatan Thailand dan kemudiannya mendaftar perkahwinan itu di Perlis pada 20 Jan tahun sama.

Ini merupakan pernikahan kedua Syamsul selepas berpisah dengan Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, pada 14 Jun 2023.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurnia sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS