Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Kan kusimpan suratmu nan itu
bak pusaka yang amat bermutu
walau kita tak pernah bersua, sayang
cukup sudah cintamu setia"

Mendengar alunan lagu Fatwa Pujangga memang cukup meruntun jiwa. Ia berkisar tentang rintihan S Effendi yang mendambakan agar dia dipertemukan dengan peminat misteri yang sering mengutus surat kepadanya.

Namun tidak kurang hiba dan sadis apa yang dilalui oleh M Rizal. Selepas menjuarai Bintang RTM 1978, seorang gadis misteri dari Kelantan begitu dekat di hatinya.

Peminat yang menggelarkan dirinya sebagai Hayati itu acap kali mengutus surat kepada M Rizal.

Setiap helaian surat Hayati itu bak azimat menyuntik semangat untuk M Rizal melangkah lebih berani di persada seni. Sekalipun tidak pernah bertemu muka tetapi surat-surat Hayati tanpa disedari menyemai perasaan suci sesama mereka.

Selepas setahun hubungan terjalin, M Rizal menjemput Hayati menyaksikan persembahannya di Stadium Negara.

"Saya berjanji menunggunya di Medan Tuanku pada jam 3 petang. Hampir tiga jam saya tunggu tapi dia tak datang.

"Saya terpaksa beredar kerana perlu menghadiri rehearsal di stadium. Bagaimanapun saya berpesan kepada seorang pekedai di situ untuk memberitahu dia agar terus ke stadium dan saya cari di sana nanti," cerita M Rizal.

Mahu bantu promosi

Sehingga selesai pertunjukan Hayati masih tidak muncul. Awalnya M Rizal sangka mungkin Hayati tidak dapat datang.

"Tiga hari kemudian saya menerima sepucuk surat daripada seseorang yang memberitahu Hayati meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan mahu menemui saya.

"Pada hari itu Hayati menaiki bas ekspres dari Kelantan. Sewaktu bas itu singgah makan di Kuantan, dia turun dari bas itu.

"Tiba-tiba sebuah kereta melanggarnya dan Hayati meninggal di tempat kejadian. Saya sungguh sedih dengan tragedi menimpa Hayati apatah lagi saya tidak dapat ziarah jenazahnya," kata M Rizal.

Kenangan bersama Hayati tidak berkubur begitu sahaja sebaliknya diabadikan M Rizal dalam lagu Ya Hayati. Lagu itu dimuatkan dalam album Menanti Kehadiran Cintamu keluaran SRC Records.

Di sebalik kisah misteri Hayati, M Rizal pula tergolong penyanyi yang dianggap sepi publisiti.  Puas saya membelek pelbagai majalah hiburan lama, jelas publisiti diberikan kepada penyanyi itu tidaklah rancak berbanding penyanyi seangkatannya terutama juara Bintang RTM 1979, Jamal  Abdillah.

Saya sendiri - biarpun lebih tiga dekad dalam bidang kewartawanan - cuma ingat momen bersama M Rizal sewaktu kami minum bersama di Restoran Muhibbah di Bangsar pada awal 1990-an.

Itu pun kerana M Rizal meminta bantuan mempromosi album barunya yang mengandungi lagu Hayati itu.

Pada awal kemunculannya, bintang M Rizal bergemerlapan. Hinggakan tersiar berita di majalah Variapop pada April 1979 dia menerima undangan menyanyi di Amerika Syarikat.

Paling menarik, selain mengikuti rombongan Pengarah Muzik RTM Johari Salleh, M Rizal sempat mengadakan persembahan di 14 negara berbeza di seluruh dunia.

Produser Syed Kechik Production pula tertarik mengambil M Rizal menjadi hero untuk filemnya Sumber Ilhamku. Bagaimanapun filem arahan Aziz Jaafar  itu kemudian menampilkan Sharifah Aini dan Latiff Ibrahim sebagai watak utama.

M Rizal tetap terlibat dan diundang membintanginya.

Sedikit beza dua Abang Beca

Pemilihan M Rizal dibuat kerana popularitinya selaku juara Bintang RTM 1978. Filem muzikal itu dihiasi lagu-lagu popular seperti Nora nyanyian Latiff Ibrahim, Sumber Ilhamku (Sharifah Aini), Ku Gembira Di Sampingmu (Khatijah Ibrahim).

M Rizal menyanyikan lagu Bertemu Bercinta dan Usah Kau Rayu Padanya.

Wajahnya yang ada iras-iras Cina itu membawa tuah apabila dia dipilih membintangi drama produksi Hong Kong berjudul Rumah Pangsa sebanyak 18 episod.

Ramai mengaitkan lagu Abang Beca yang membuatkan M Rizal popular tetapi sukar menidakkan lagu Usah Kau Rayu Padanya yang dinyanyikan secara trio bersama Latiff Ibrahim dan S Rohani turut memahatkan nama M Rizal dengan lebih kukuh.

Abang Beca dan Lambaian Tanganmu Yang Terakhir antara lagu dinyanyikan M Rizal sewaktu di Bintang RTM 1978.

M Rizal bersama model yang menghiasi klip video lagu Ya Hayati

Lambaian Tanganmu Yang Terakhir dipopularkan juga Halil Chik adalah lagu saduran Angela nyanyian Jose Feliciano.  

Begitu juga Abang Beca, lagu asalnya nyanyian Broery Marantika. Aneh pula apabila di media sosial ramai mendakwa itu lagu asli daripada M Rizal.

Memanglah ada sedikit perbezaan di antara Abang Beca versi Broery dengan Abang Beca-nya M Rizal. Di tangan juara Bintang RTM itu Abang Beca dinyanyi ala funky disco sambil menari mengangkat kaki sekali sekala untuk kedengaran lebih rancak dan menarik.

Genre funky itu boleh dilihat dalam persembahan Michael Jackson sewaktu dia bersama Jackson 5 menyanyikan lagu Don't Stop 'Til You Get Enough.

Biarpun M Rizal ada koleksi lagu-lagu tersendiri hasil daripada tiga album yang sempat dirakamkan, persembahan lagu Abang Beca itu jugalah yang kerap 'dikayuhnya.'

Melalui interview WAFA TV, M Rizal menceritakan hubungan baiknya dengan penyanyi asal lagu Abang Beca itu.

"Jika Broery datang ke Kuala Lumpur saya akan menjaganya. Jika saya ke Jakarta, dia pula menjaga saya," katanya.

M Rizal berasal dari Hutan Melintang, Teluk Intan, dan bermain gitar. Hubungan rapat sejak zaman kanak-kanak dengan Raja Kecil Besar Perak, Raja Izzuddin Iskandar Shah, membolehkan M Rizal menyertai Ree Shah Kombo yang dipimpin Almarhum Sultan Perak ketika itu.

Dilahirkan pada 19 Julai 1953, M Rizal meninggal dunia pada 23 Ogos lalu akibat penyakit ulser perut. Allahyarham meninggalkan isteri, Salmah Musa, 74, serta lima anak dan 11 cucu.

Jenazahnya dikebumikan di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru. Sejak 20 tahun kebelakangan ini, M Rizal sudah tidak lagi aktif menyanyi.

Penyanyi Uji Rashid mengimbau momen sewaktu M Rizal mula menjadi artis:  "Biarpun juara Bintang RTM tetapi dia tidak berlagak. Saya lihat arwah ini hormat orang. Kami artis lebih senior ketika itu saling menyokong artis baru yang menghormati orang lain seperti M Rizal ini," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS