Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi Abang Beca meninggal dunia
Diterbitkan:  Aug 23, 2024 5:19 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Artis veteran M Rizal atau nama sebenaranya, Mohamad Razali Hasim dilaporkan meninggal dunia jam 10.50 malam tadi di kediamannya di Taman Damai Jaya, Skudai, Johor Bharu.

Allahyarham yang dikenali dengan lagu Abang Beca sebelum itu dimasukkan ke wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak akibat penyakit gout.

Bernama memetik anak bongsu allahyarham, Roy Faisal, 41, sebagai berkata bapanya meninggal dunia di kediamannya di Taman Damai Jaya, Skudai di Johor Bharu di samping isteri, Salmah Musa, 74, dan anak-anaknya.

Katanya, dia bersyukur sempat membuat panggilan video dengan semua ahli keluarga bagi membolehkan mereka bersama-sama pada detik allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah ayah meninggal disebabkan ulser perut dihidapi sejak dari tahun lepas, cumanya dia berulang-ulang sekejap baik sekejap sakit dan arwah juga sakit gout yang menyebabkan arwah susah nak berjalan dan tidak aktif.

"Sakit ulser itu lepas baik tiga empat bulan dia datang balik, tapi tiga hari lepas ayah tidak berselera makan dan suapan terakhir ayah ialah nestum kira-kira pukul 4 petang.

“Saya tergerak nak buat panggilan video dengan semua ahli keluarga...semua dapat tengok ayah...ayah sedar dan tiba-tiba ayah senyap... jadi alhamdulillah semua ada dalam video itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Johor Bharu hari ini.

Penyanyi yang pernah menyandang gelaran Juara Bintang RTM 1978 itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Impian Emas, Skudai pada pukul 10 pagi tadi.

Sementara itu, isteri Allahyarham Salmah Musa, berkata meskipun sedih dan rasa kehilangan, namun beliau redha atas pemergian suaminya.

“Suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia memang pendiam dan arwah ini seorang yang kuat. Arwah dah lama tidak aktif menyanyi…rasanya lebih 20 tahun dan ada jemputan nyanyi untuk kenduri keluarga, itupun ada yang dia pergi dan ada yang dia tolak,” katanya.

M Rizal merupakan seorang penyanyi yang berasal dari Teluk Intan, Perak yang dilahirkan pada 19 Julai 1953 dan pernah memegang gelaran Juara Bintang RTM 1978.

Selain Abang Beca, antara lagu popular Allahyarham ialah Hatiku Menangis Kernamu, Usah Kau Rayu Padanya yang juga lagu runut bunyi (OST) untuk filem Sumber Ilhamku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS