Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cerai dan rujuk, Adira tepis tuduhan permainkan rumah tangga

Penyanyi Adira Suhaimi menyangkal persepsi segelintir pihak yang menuduhnya mempermainkan institusi rumah tangga apabila melihat dia berbaik malah merancang untuk merujuk semula bekas suaminya, Adnan Abu atau Datuk Red.

Adira berkata pihak yang bercakap hanya pandai menghentam dan tidak faham situasi sebenar sedang dilalui olehnya dan Red.

“Saya tahu ada orang cakap macam itu, tapi yang lalui semua ini adalah saya. Mereka boleh berkata sebegitu kerana mereka tidak tahu apa-apa.

“Mereka tidak duduk dalam kasut saya. Ini perceraian bukan main-main. Apa yang terjadi lepas habis iddah, itulah dia. Saya bukan nak prank,” katanya.

Bagaimanapun, Adira, 32, memberitahu, dia sedikit pun tidak terasa dengan kritikan dilemparkan terhadapnya.

“Saya langsung tidak ambil hati,” katanya.

Adira dan Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Pasangan itu kemudian bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang selepas sembilan tahun berkahwin.

Ditanya sama ada dia ada meletakkan syarat atau tidak sekiranya Red mahu kembali hidup bersama, Adira hanya menjawab ringkas.

“Sudah tentu ada (letak syarat). Dia juga bertanya betulkah saya nak rujuk? Kami ada berbincang mengenainya,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam bidang lakonan yang kian rancak, penyanyi Takdir Tercipta itu berkata, dia semakin bersemangat untuk meneruskan karier yang diceburi selepas mendapat maklum balas positif peminat.

Katanya, dia juga tidak kisah sekiranya ada produksi berminat untuk menggandingkan dia dan Red dalam satu naskhah.

“Saya seronok pula berlakon. Dulu saya tidak mahu berlakon kerana hanya nak menyanyi.

“Sebenarnya boleh saja buat dua-dua, menyanyi dan berlakon sekali. Seronok sebab peminat kata: Nak tengok Ami (gelaran Adira) berlakon.

“Tapi, mereka minta janganlah saya sampai berhenti menyanyi kalau dah aktif berlakon. Saya juga tidak kisah kalau nak gandingkan saya dengan Datuk Red,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS