Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adira nafi ‘dikejar’ Datuk H tapi setia tunggu Datuk Red

Penyanyi Adira Suhaimi menafikan kewujudan seorang individu bergelar dengan awalan nama H yang didakwa sedang ‘memburunya’ selepas dia berpisah Adnan Abu atau Datuk Red.

Mengakui terkejut dengan dakwaan itu, Adira berkata, dia langsung tidak mengenali mana-mana lelaki dengan gelaran sebegitu selain daripada Red.

“Saya sebenarnya tidak pernah kejar sesiapa. Datuk H itu pun tidak wujud jadi saya tidak tahu siapa dia.

“Saya juga tidak kenali sesiapa yang berpangkat datuk atau apa pangkat sekali pun.

“Lelaki kalau nak dengan saya tapi apabila dengar saya mak janda anak empat pun mereka jadi takut,” katanya.

Kata pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu, meskipun sudah berpisah daripada Red, dia menegaskan hatinya masih dimiliki ahli perniagaan terbabit.

Tambahnya, dia juga tidak sesekali akan bertindak membelakangi lelaki yang juga bapa kepada empat anaknya itu sama ada ketika mereka masih berkahwin mahupun bercerai.

“Dia (Red) tahu saya siapa, dia tidaklah mempersoalkan pasal Datuk H kerana dia percaya pada saya.

“Macam inilah kalau nak cari pengganti ke apa ke, ada hubungan dengan orang lain ke bukan, bukan sekarang baru nak buat," katanya.

Harap ada jodoh lagi

Adira berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan jenama Elegant sebagai penaja utama drama dalam talian, Jangan Tinggal Abang Dek! di Kuala Lumpur hari ini.

Drama arahan Amor Rizan dan ditulis Erma Fatima itu sedang ditayangkan di platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.

Selain Adira, 32, ia turut dijayakan Fathia Latiff, Nabila Huda dan Adi Putra.

Sebelum ini wujud spekulasi menyatakan Adira sedang dalam fasa mengenali seorang lelaki dikenali sebagai H.

Adira dan Red bercerai talak satu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang selepas sembilan tahun berkahwin. Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Dis 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 2.

Adira berkata, dia memang tidak menolak jika ditakdirkan berkahwin semula dengan Red pada masa hadapan.

“Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Saya mohon doa yang baik-baik. Sekarang yakin (rujuk) dan insya-Allah.

“Kita cuba kalau ada jodoh kami bersama, tapi jika tak ada, saya tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sekarang ini kami sedang berusaha, dia ada perkara yang hendak diselesaikan dan begitu juga dengan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS