Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ashraf Muslim geram ramai anak muda lembik, manja

Pelakon Ashraf Muslim berkata, antara sebab dia mencabar orang awam untuk menyertai dunia ketenteraan ialah kerana khuatir dengan mentaliti segelintir generasi muda yang disifatkannya lembik serta manja.

Bahkan pemegang pangkat leftenan pasukan Askar Wataniah itu mengakui ada ketikanya dia berasa "geram" melihat golongan terbabit tidak memiliki jati diri yang kuat, selain gagal memelihara identiti bangsa dengan baik.

“Sebenarnya ayat saya 'kalau anak jantan, jom sertai Wataniah' itu nak beritahu orang muda sebab budak zaman sekarang yang baru habis belajar ramai lembik dan manja.

“Yang saya maksudkan lembik bukan dari segi fizikal tapi mental. Apabila ada isu timbul di media sosial misalnya, mereka dengan mudah melenting kerana marah.

"Ini sekali gus menzahirkan identiti anak muda itu dengan konotasi negatif.

“Kasihan saya tengok, jati diri sebagai orang Malaysia semakin kurang.

“Macam mana nak ajar mereka dari segi bahasa bahawa sebagai orang Melayu, wajar dipelihara identiti dan jagalah bahasa serta adab kita itu.

"Geram pun ada,” katanya.

Pada masa sama Ashraf, 42, berkata dia berasa terpanggil untuk menguar-uarkan mengenai Askar Wataniah kerana masih ramai yang kurang ilmu pengetahuan mengenai fungsi pasukan tersebut.

Manfaat untuk semua

Justeru, pelakon itu berharap lebih ramai belia terbuka hati untuk menyertai Askar Wataniah kerana ia bukan saja platform yang sesuai untuk mendisiplinkan malah boleh meningkatkan semangat patriotisme.

“Di situ kita akan belajar menerima arahan - misalnya dalam berkawad - sekali gus mengajar anak muda untuk lebih berdisiplin.

“Jika dah berada dalam sistem itu dan sekiranya berlaku darurat atau apa saja peperangan, kita tahu macam mana nak survive," katanya.

Dia juga menjelaskan keadaan adalah berbeza di negara jiran, Singapura, yang mempunyai sistem tersendiri mempersiapkan rakyatnya berdepan dengan darurat.

Di republik itu, kata Ashraf, warganya sudah tahu sedikit sebanyak apa yang perlu dilakukan jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini seperti peperangam.

“Jadi, kita wajar bermula sekarang untuk meramaikan lagi pelapis, tidak boleh bergantung dengan askar tetap saja nak pertahankan negara,” katanya.

Ashraf berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir sebagai artis undangan bagi mempromosi filem Dua Surga Dalam Cintaku di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Ashraf dipakaikan pangkat oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan (kiri) dan timbalannya Jeneral Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pada Mac lalu

Filem arahan Kiki Nuriswan itu dijayakan barisan pelakon Indonesia kelahiran Malaysia seperti Aliff Alli dan Keira Shabira. Ia dijangka menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Ogos ini.

Dua Surga Dalam Cintaku sebuah filem yang menggabungkan elemen cinta romantis dan Islamik yang mengetengahkan tema poligami. Ia diadaptasi daripada novel terlaris di Indonesia dengan judul sama.

Semalam tular klip video memaparkan Ashraf mengajak orang awam untuk sama-sama menyertai dunia ketenteraan dengan menjadi askar sukarela.

Melalui video yang dimuat naik ke media sosialnya, pelakon itu menggalakkan orang awam untuk terbabit sama banyak kelebihan dan kebaikan bukan saja untuk mereka yang menyertai, tetapi juga kepada orang sekeliling dan negara.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai insiden buli yang mencalarkan imej pasukan keselamatan, Ashraf berharap masyarakat tidak meletakkan persepsi negatif begitu secara pukul rata.

“Takkanlah sebab satu insiden semua ambil yang keruh. Artis juga lakukan kesilapan. Setiap orang buat kesilapan.

“Kalau teruskan doktrin itu dalam otak sampai bila kita nak maju,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS