Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rumah tangga Syamsul: Kami tak gembira, cuma kami reda - Yusof

Penerbit terkenal yang juga pelakon veteran, Yusof Haslam, memohon tiada pihak membuat tanggapan yang salah ekoran permohonan cerai difailkan anaknya, Syamsul, semalam.

Kata Yusof, sama ada dia atau isterinya bukanlah individu yang gembira dengan perkhabaran itu bahkan mereka banyak mendiamkan diri selepas berita itu tular.

“Jangan salah faham katakan saya dan isteri bertepuk tangan... itu tidak ada.

“Kami bukan gembira dengan berita itu tapi kami reda. Demi Allah tidak ada niat dan saya pun tidak tahu perkara ini berlaku kerana sibuk bekerja.

“Saya tahu pun selepas wartawan hubungi untuk bertanya isu itu,” katanya.

Sebagai ayah, kata Yusof, dia tetap mendoakan yang terbaik untuk Syamsul walaupun sudah bertahun mereka tidak bersua muka.

"Apa yang silap, kita perbetulkan,” katanya yang ditemui semasa sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional di Ampang hari ini.

Terdahulu, peguam Syamsul mengesahkan pengarah filem Munafik itu sudah memfailkan permohonan cerai terhadap Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Bagaimanapun, Azmi Mohd Rais berkata setakat ini tarikh sebutan kes bagi permohonan berkenaan belum ditetapkan.

Semua ketentuan Tuhan

Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga Syamsul dan Ira diperkatakan sejak Okt tahun lalu namun kedua-duanya mengunci mulut mengenai dakwaan tersebut.

Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Jan tahun lalu.

Berita pernikahan itu membuatkan isteri pertama Syamsul, Puteri Sarah Liyana, memfailkan perceraian. Mereka kemudian disahkan berpisah dengan talak satu pada 13 Jun 2023.

Yusof juga memaklumkan walaupun anaknya sudah mengambil langkah perceraian, dia tidak menyimpan harapan agar Puteri Sarah kembali kepada Syamsul atau sebaliknya.

Kata Yusof, dia hanya mengharapkan yang terbaik untuk semua pihak.

“Saya tak boleh komen tentang itu. Ini semua ketentuan Allah. Saya reda.

“Semalam Puteri Sarah ada datang berjumpa saya dan isteri. Reda saja.

“Saya tak boleh kata mahu Sarah balik ke pangkuannya atau sebaliknya. Itu bukan urusan kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS