Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ayez Shaukat terkilan dituduh lacur budaya Melayu ke AS

Di sebalik bangga kerana usahanya menembusi pasaran AS semakin diiktiraf, tetap ada rasa terkilan di hati penggusti profesional negara, Ayez Shaukat-Fonseka Farid, apabila dituduh melacurkan budaya Melayu ke negara Uncle Sam itu.

Bagi Ayez Shaukat, tawaran yang diterimanya sekali gus membuktikan dirinya berbaloi untuk menerima hasil yang lumayan apabila bergelumang dalam sukan itu.

Justeru, pelakon dan penulis skrip filem Gila Gusti itu tertanya-tanya mengapa masih wujud segelintir pihak yang begitu marah terhadap usaha serta pencapaian selama ini.

“Saya cuma kejar impian saya, jadi apa yang dimarahkan sangat?

"Mereka yang kecam antaranya berkata kerjaya sebagai penggusti profesional tidak sesuai dengan budaya Melayu bahkan saya dituduh melacurkan budaya sendiri ke AS.

“Bagi saya, ini lebih kepada memperjuangkan budaya. Saya bangga kerana tidak pernah nampak penggusti tempatan perkenalkan budaya Melayu pada skrin televisyen di AS.

“AS sudah biasa kenal budaya Filipina, Thailand mahupun Vietnam, jadi saya fikir penting budaya Melayu pula ditonjolkan di peringkat Hollywood,” katanya kepada Malaysiakini.

Sama macam The Rock

Penggusti yang sudah bergelumang dalam dunia itu sejak sedekad lalu bakal mengikat kontrak selama lima tahun dengan sebuah syarikat dari AS.

Lebih membanggakan, kata Ayez Shaukat, 37, tawaran gaji dengan nilai setahun mencecah lebih enam angka itu sangat lumayan sehingga dia tidak mampu untuk menolaknya.

“Dah lama saya kejar impian ini.

“Berbanding Reality Of Wrestling yang saya ceburi sebelum ini berasaskan freelance, tawaran itu adalah program kali pertama yang berskala besar saya terima,” katanya.

Ayez Shaukat ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Takluk: Lahad Datu di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem arahan Zulkarnain Azhar itu bakal menjengah pawagam pada 22 Ogos ini.

Ayez Shaukat menjadi penggusti Asia Tenggara pertama yang beraksi di dalam arena gusti televisyen AS pada 2022 bersama Reality of Wrestling yang dimiliki oleh Booker T.

Disebabkan kebebasan berkreativiti, Ayez Shaukat memilih untuk mengekalkan identiti The Prophet of Pain dengan bertanjak dan berbaju songket untuk mempromosikan budaya sendiri di dunia luar.

Menurut Ayez Shaukat, kecaman tidak terhenti setakat di situ kerana ada antara pengkritik mengecamnya dengan menganggap gusti adalah sukan tidak berfaedah untuk dipelopori.

“Mereka cakap ia sukan penipu. Mereka tidak faham, kita memang pelakon dan berlakon dalam itu sama seperti World Wrestling Entertainment (WWE) yang pernah diceburi The Rock,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS