Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada kesan cedera pada jenazah Nidza Afham, kata polis
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 6:44 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Polis tidak mengesan sebarang kecederaan pada jenazah penyanyi dan YouTuber, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, selepas bedah siasat selesai dijalankan hari ini.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata bedah siasat dijalankan terhadap mayat Nidza Afham selesai kira-kira jam 3 petang tadi selepas dimulakan empat jam sebelum itu.

“Punca kematian pending laboratory investigation (bergantung siasatan makmal) dan kecederaan lain pada fizikal tiada.

"Siasatan diteruskan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hussein mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang petang semalam adalah Nidza Afham yang dilaporkan hilang sebelum itu.

Menurut Hussein, jenazah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk urusan bedah siasat.

Nidza Afham dilaporkan hilang 7.45 petang kelmarin selepas dikatakan keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam sebelumnya.

Dompet dan telefon bimbit peserta rancangan realiti I Can See Your Voice 3 itu kemudian ditemui di sebuah jambatan di Sungai Klang.

Mangsa yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie itu pernah melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.

Menurut Hussein, kes diklasifikasikan sebagai SDR dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Jenazah Nidza Afham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ceraka di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 6.30 petang ini.

Dianggarkan seramai 400 ahli keluarga dan sahabat-handai allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir buatnya.

Sebelum itu jenazah berkenaan disolatkan di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS