Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aufahanie terkenang gurauan 'siapa kahwin dulu' dengan abang
Diterbitkan:  Aug 15, 2024 1:56 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Penyanyi Aufahanie Mokhtar berkongsi bagaimana hubungan dia dan arwah abangnya begitu rapat sehinggakan mereka sering bergurau mengenai siapa bakal bernikah terlebih dulu.

Katanya, sebelum ini Nidza Afham sedang giat mengumpul duit kerana merancang untuk bertunang dengan kekasihnya, Azmiera.

“Semasa kami jumpa telefon bimbit abang, kami minta password daripada kekasih dia. Apabila buka telefon saya nampak group WhatsApp dan dia merancang mahu kahwin.

“Abang dengan saya selalu bergurau siapa kahwin dulu: soalannya kau ke aku? Abang nombor tiga baru saja berkahwin, dan lepas itu mungkin dialah.

“Arwah sedang kumpul duit untuk berkahwin,” katanya melalui klip video Buletin TV3.

Terdahulu Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang dijumpai di sekitar jambatan Sungai Klang malam tadi adalah Nidza Afham yang dikenali sebagai penyanyi dan YouTuber.

Menurut Aufahanie, 21, setiap hari dia memang akan berhubung dengan abangnya itu melalui mesej sekurang-kurangnya sekali sehari kerana mereka tinggal berasingan.

Sebelum ini, katanya, Nidza Afham kerap berkongsi cerita dan menjadikan dia sebagai tempat mengadu memandangkan ibu bapa mereka sudah bercerai.

Kata penyanyi Geming Jiwa itu lagi, perbualan terakhir mereka adalah melalui WhatsApp mengenai sokongan yang boleh diberikannya kepada karier Nidza Afham sebagai penyanyi.

“Kali terakhir kami berbual ketika saya masuk kereta untuk ke kelas. Kemudian saya buka Spotify, cari lagu dia dan pasang.

“Saya hantar gambar kepada dia dan saya cakap: support abang. Masuk kereta terus search Nidza Afham. Itulah perbualan terakhir.

“Abang duduk dengan umi dan saya duduk dengan ayah. Setiap hari, kami akan berbual di telefon. Setiap hari mesti kami akan saling hantar video kelakar dari TikTok,” katanya.

Sementara itu, menerusi ciapan di X diketahui bahawa walaupun reda dengan takdir menimpa keluarganya ketika ini, Aufahanie meluahkan perasaannya yang dia tidak cukup kuat untuk berdepan kehilangan abang tersayang.

“Aku tak kuat ya Allah.

“Aku redha Am (Nidza Ahfam). Aku redha. Kita orang semua usaha sampai jumpa kau balik di syurga ya. Sikit lagi, tahan sikit ya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS