Mayat Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang ditemukan di Sungai Klang petang semalam dibawa ke Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) untuk urusan bedah siasat.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia selepas proses pengecaman mayat selesai dilakukan oleh ahli keluarga mangsa di lokasi kejadian malam tadi.
“Siasatan lanjut dari segi klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga penyanyi berusia 23 tahun itu telah berkumpul di HSA sebelum kenderaan yang membawa jenazah beliau tiba pada kira-kira 10.30 malam.
Difahamkan, kehadiran ahli keluarga Muhammad Nidza Afham itu adalah bagi mengikuti urusan bedah siasat yang dijangka dijalankan malam ini.
Muhammad Nidza Afham dikatakan keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangannya disedari pada sembilan malam dua hari lalu.
Adiknya, Afrina Hanie mendakwa kehilangan mangsa berkaitan dengan kes samun susulan kad debit dan wang tunai hilang manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar beliau yang disimpan di dalam dompet tidak terusik ketika dijumpai di atas Jambatan Sungai Klang.
-Bernama