Isteri kepada pendakwah selebriti Dai Syed, pengacara Hana Ismail selamat melahirkan anak sulung mereka pada jam 2.06 petang hari ini.
Berita gembira itu dikongsikan Syed di Instagram peribadinya sebentar tadi yang bersyukur dengan kehadiran anggota keluarga terbaru mereka.
“Alhamdulillah, isteri saya Hana selamat melahirkan anak kami jam 2.06 petang,” katanya.
Pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail itu turut berterima kasih kepada peminat yang sama-sama mendoakan kesejahteraan keluarga mereka.
“Terima kasih yang mendoakan,” katanya.
Bagaimanapun, Syed tidak mendedahkan jantina bayi mereka itu.
Syed dan Hana diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 3 Disember 2022.