Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pendakwaan teruskan kes terhadap Hafidz Roshdi
Diterbitkan:  Aug 13, 2024 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini diberitahu kes Hafidz Roshdi yang didakwa mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, pada Mac tahun lepas akan diteruskan dengan perbicaraan.

Timbalan pendakwa raya Asmah Che Wan memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes di hadapan hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret.

“Hari ini ditetapkan untuk mengetahui status penarikan balik laporan polis pengadu (Nurul Shuhada).

"Pihak pendakwaan telah menerima arahan untuk meneruskan kes terhadap tertuduh. Oleh itu, saya mohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” kata Asmah.

Bagaimanapun, peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon terbabit yang nama sebenarnya ialah Muhammad Hafidz Roshdi memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi berhubung kes itu.

“Saya agak terperanjat dengan arahan yang diterima pihak pendakwaan, namun saya menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan.

"Pengadu telah menarik balik laporan polis berhubung kes ini pada 6 Julai dan menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak mahu meneruskan kes terhadap anak guam saya.

“Demi keadilan anak guam, kami (pembelaan) berhasrat untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan memerlukan masa dua bulan untuk mendapatkan status berhubung representasi,” kata peguam itu.

Asmah kemudian menetapkan 14 Okt untuk sebutan kes bagi keputusan representasi.

Ditemui pemberita selepas prosiding, Akberdin berkata representasi itu adalah untuk menarik balik pertuduhan terhadap pelakon berkenaan.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya pada jam 3.22 pagi, 2 Mac 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS