Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun sudah meniti usia emas, pelakon berpengaruh,Eman Manan mengakui dirinya masih ‘diburu’ pengarah dengan pelbagai tawaran termasuk yang memerlukan dia bersilat.

Mengakui tidak sedikit pun runsing dengan permintaan tersebut, pelakon Lelaki Terbaik Filem Festival Malaysia ke-5 melalui watak Matinya Seorang Patriot itu berkata, pihak terbabit memasang harapan tinggi untuk melihat dia berpencak dalam karya yang diarahkan mereka.

“Setiap tahun saya masih dapat tawaran filem, drama bersiri, watak pendekar atau pahlawan sebab dulu saya pernah muncul berkeris, bergolok dan berparang.

“Alhamdulillah, mungkin penonton saya masih ada. Mungkin sedikit tidak merunsingkan saya, tapi apabila saya terlibat, mereka berharap saya bersilat.

“Cuma bagi saya, ada cerita yan kita tidak perlu bersilat kerana ia bergantung kepada peranan dan karakter yang diciptakan itu,” katanya yang dijangka muncul dengan dua filem hujung tahun ini.

Justeru, tidak sukar untuk Eman - yang popular dengan drama Pendekar Kundur itu - menolak tawaran menjayakan watak antagonis utama, Raja Iskandar dalam filem Takluk: Lahad Datu yang mendapat inspirasi daripada kisah benar di Lahad Datu kira-kira 11 tahun lalu.

Kata pelakon berusia 66 tahun itu, walaupun perlu membawa peranan yang jahat dia menganggap ia satu keperluan dalam menggerakkan naskhah berkenaan.

Tak ada alasan untuk hadkan diri

Katanya detik pencerobohan pengganas di Lahad Datu itu antara detik konflik terbesar yang pernah berlaku di negara ini selain di Pahang, Negeri Sembilan dan perang Jepun.

Bezanya, kata Eman, konflik yang berlaku di Sabah itu diceritakan hanya beberapa tahun selepas ia berlaku, bukannya 30 atau 40 tahun sesudah terjadi.

Justeru katanya butiran kejadian tersebut masih segar dalam ingatan ramai orang, manakala sumber maklumat pula diperolehi daripada pejuang yang masih hidup.

“Sebab itu biarpun saya bawa watak jahat dan tidak banyak babak seperti watak lain, ia sangat penting dan saya tidak mampu menolak untuk terlibat kerana ia bertujuan merakam kisah berdasarkan peristiwa besar dalam negara.

“Sebelum ini, sudah selalu sangat diberi watak wira, pejuang, pesilat dengan dialog falsafah, ahli agama yang akhirnya membawa kejayaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Takluk: Lahad Datu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memandangkan berada dalam landasan karier yang masih aktif, Eman berpendapat tiada keperluan untuk dia memperlahankan kerjayanya apatah lagi ketika ketahanan fizikalnya tidak bermasalah.

Menurutnya, dia bersyukur masih diberi kekuatan dan kesihatan tubuh badan tanpa perlu bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Kalau peranan besar dan logik dengan saya, saya terima. Alhamdulillah saya masih sihat dan segar tiada ubat yang perlu saya makan setiap hari.

“Jadi, kenapa perlu hadkan bidang ini? Adakah kerja itu terlarang atau melanggar tatasulila adat? Apabila karya itu tidak menyanggah pantang larang kenapa tidak diteruskan?” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS